Berita

Pelbagai komuniti kaum India bersiap sedia untuk sambutan Tahun Baharu masing-masing

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 8 April 2024 11:05 AM MYT

PELBAGAI komuniti kaum India di Malaysia kini bersiap sedia untuk menyambut perayaan Tahun Baharu masing-masing, bermula dengan sambutan Ugadi bagi komuniti Telugu esok, dan diikuti dengan Vaisakhi yang diraikan kaum Sikh pada 13 April.

Ia kemudiannya disusuli pula dengan sambutan Chithirai Puthandu (Tahun Baharu Tamil) yang disambut oleh kaum Tamil, dan Vishu yang disambut kaum Malayalees, kedua-duanya pada 14 April.

Pada sambutan Tahun Baharu Tamil tahun ini yang dikenali sebagai ‘Krodhi’, Presiden Hindu Sangam Malaysia T. Ganesan melahirkan harapan agar dianugerah keberkatan, dimurahkan rezeki, kesejahteraan dan kemakmuran.

Beliau berkata tempoh ‘bertuah’ itu bermula pada 10.50 malam pada 13 April bertepatan dengan hari pertama bulan Chittirai (bulan pertama kalendar Tamil pada 14 April).

“Sesi ibadat akan berlangsung di Kuil Sri Sakthi Karpaga Vinayagar di Brickfields pada 14 April pagi, disertai dengan aktiviti tradisional termasuk Uri Adithal, pertandingan kolam, pertandingan catur, dan acara keagamaan,” kata Ganesan kepada Bernama.

Sementara itu Presiden Yayasan Telugu Malaysia Datuk R. Kantharao Accunaidu menjelaskan sambutan Ugadi tahun ini dikenali sebagai ‘Sri Krodhi Nama Ugadi’.

Beliau menekankan kepentingan Pachadi, perasa cukup terkenal yang mengandungi pelbagai bahan, melambangkan pelbagai rasa dan aspek kehidupan.

“Kepahitan bunga neem, kemanisan jageri (gula tebu tradisional), rasa masam asam jawa, kemanisan mangga, dan kepedasan cili menjadi peringatan kepada orang ramai untuk menempuh kehidupan dengan daya tahan, positif dan pandangan yang seimbang,” tambah Kantharao.

Beliau berkata yayasan itu akan menganjurkan perhimpunan beribadat di Kuil Sri Ramar di Selayang pada petang 9 April yang akan menampilkan upacara keagamaan, perarakan, tarian tradisional dan sedekah.

Menurut Presiden Sikh Naujawan Sabha Malaysia Paramjeet Singh Jai Singh, penganut Sikh di negara ini akan meraikan pembentukan Khalsa pada 14 April.

Tarikh itu memperingati penubuhan Khalsa, komuniti Sikh yang telah disucikan dan dibangkitkan semula oleh Guru Gobind Singh pada 30 Mac 1699.

Paramjeet menjelaskan bahawa sambutan Vaisakhi tahun ini akan menampilkan pelbagai aktiviti di Gurdwara Sahib Petaling Jaya, termasuk perhimpunan keagamaan, nyanyian lagu-lagu kerohanian, seminar, pameran seni mempertahankan diri Sikh, kem perubatan, dan jamuan teh kanak-kanak.

Sementara itu presiden Persatuan Kebudayaan dan Tradisional Malayalee Hindu Malaysia (PAKAR Malayalee Malaysia) Dr N.R. Nambiar menjelaskan komponen Vishu disambut oleh komuniti Malayalee pada 14 April lepas.

“Vishu Kanni yang diatur oleh ahli wanita tertua di rumah pada malam sebelum Vishu, melibatkan penyediaan barang-barang bertuah termasuk patung Krishna atau Guruayurappan dihiasi dengan bunga, buah-buahan, perhiasan, syiling, pakaian, dan kitab-kitab suci,” kata Nambiar.

Beliau berkata Vishu Kaineetham pula melibatkan orang tua menawarkan wang kepada ahli keluarga termuda, manakala Vishu Sadya merangkumi jamuan yang disediakan oleh seluruh keluarga dengan sekurang-kurangnya lapan hingga 10 hidangan vegetarian. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas