Berita

Cukai petak tidak bebankan warga kota

KHALID (kiri) hadir pada Majlis ' Soft Launch' Pelaksanaan Cukai Petak Wilayah Persekutuan di Rumah Pesekutuan. -FOTO:NAZIRUL ROSELAN
- Diterbit 12 Disember 2019 7:51 AM MYT

Oleh AZLAN ZAMBRY
[email protected]

KUALA LUMPUR- Cukai petak yang akan dikuatkuasakan bermula 1 Januari tahun hadapan tidak akan membebankan warga kota terutamanya golongan berpendapatan rendah (B40).

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abd. Samad berkata, melalui pelaksanaan cukai yang akan dilaksanakan Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (PPTGWP), ia mengambil kira kepentingan rakyat serta hasrat kerajaan untuk melaksanakan peralihan cukai tanah kepada cukai petak tanpa meningkatkan kos sara hidup ke atas warga kota.

“Bagi pemilik petak kediaman strata dari skim Kediaman Kos Rendah dan Program Perumahan Rakyat (PPR) terutamanya golongan B40, mereka akan menikmati kadar tetap (flat-rate) cukai petak tanpa mengira saiz keluasan petak iaitu RM15 setahun untuk pegangan hak milik pajakan (leasehold).

“Bagi pegangan hak milik selama-lamanya (freehold) pula dikenakan sebanyak RM20 setahun,” katanya dalam ucapan pada Majlis ‘Soft Launch’ Pelaksanaan Cukai Petak Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Rumah Persekutuan di sini hari ini.

Kata Khalid, berdasarkan rekod di PPTGWP, terdapat lebih 70 peratus kediaman jenis pangsapuri mampu milik atau apartment yang mempunyai saiz keluasan petak keseluruhan di bawah 1,030 kaki persegi atau 96 meter persegi, yang mana rata-ratanya dimiliki golongan pertengahan (M40).

“Kadar cukai petak untuk kediaman strata jenis ini telah digubal bagi membolehkan pengenaan cukai petak pada kadar minimum iaitu RM20 setahun bagi pegangan hak milik pajakan (leasehold).

“Bagi pegangan hak milik selama-lamanya (freehold) dikenakan sebanyak RM25 setahun dapat dinikmati pemilik-pemilik kediaman strata golongan M40 ini,” katanya.

Hadir sama, Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan, Datuk Che Roslan Che Daud. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas