Berita

53,000 penuntut naik bas pulang ke kampung

PELAJAR universiti perlu mengamalkan penjarakan sosial semasa dalam bas ketika pulang ke kampung nanti. Gambar hiasan
- Diterbit 24 April 2020 7:10 AM MYT

PUTRAJAYA – Seramai 53,000 pelajar institut pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS) termasuk politeknik dan kolej komuniti dibenarkan pulang ke kampung halaman masing-masing bermula Isnin depan.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kebenaran pergerakan para pelajar itu hanya bagi kawasan zon hijau sahaja.

“Pergerakan mereka akan dilakukan secara berperingkat bermula pukul 9 malam hingga 9 pagi bagi mengelakkan kesesakan pada waktu siang hari.

“Setiap pelajar perlu menjalani saringan bergejala Covid-19 selain diberikan makanan dan topeng muka,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Menurut beliau, para pelajar akan diambil menggunakan bas di kampus masing-masing dengan mengekalkan penjarakan sosial di dalam bas.

Ujarnya, ini bererti bas yang sebelum ini bermuatan 40 penumpang hanya akan dipenuhi 20 orang pelajar dengan setiap kerusi bas hanya diduduki seorang sahaja.

“Mereka kemudiannya dibawa terus ke balai polis daerah atau pejabat daerah sebelum dihantar ke rumah masing-masing oleh agensi kerajaan termasuk petugas barisan hadapan di kawasan tersebut.

“Justeru, tiada ruang mereka pergi ke tempat lain manakala, pelajar yang ingin pulang menggunakan kenderaan sendiri dikenakan syarat iaitu hanya memandu sendirian tanpa penumpang dan tidak merentasi negeri,” jelasnya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri menegaskan pelajar yang ingin pulang ke Sabah dan Sarawak pula akan menjalani kuarantin wajib selama 14 hari selaras prosedur standard operasi (SOP) ditetapkan di kedua-dua negeri tersebut.

“53,000 pelajar ini mewakili 85 peratus jumlah pelajar di IPTA dan IPTS. Ada yang tidak berminat hendak pulang ke kampung halaman dan sebahagiannya ada yang belajar melalui dalam talian dan pilih untuk kekal di kampus kerana tiada perkhidmatan internet di kampung.

“Kita akan menanggung perbelanjaan makan dan minum mereka seperti biasa,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas