Berita

PDRM umum pertukaran empat pegawai kanan

- Diterbit 12 Mac 2024 2:40 PM MYT

KETUA Urusetia Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman ACP Azman Shari’at dilantik sebagai Ketua Polis Daerah KLIA berkuat kuasa 15 April ini.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia (PDRM) Alzafny Ahmad menerusi kenyataan hari ini memaklumkan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Rahmat Ariffin bakal mengisi jawatan yang dikosongkan Azman.

Beliau berkata pelantikan itu merupakan sebahagian daripada pertukaran membabitkan empat pegawai kanan PDRM di seluruh negara berkuat kuasa tarikh yang sama.

Turut bertukar ialah Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Amihizam Abdul Shukor yang dilantik sebagai Penolong Pengarah Siasatan dan Pemantauan, Bahagian Kawalan Kredit Komuniti, Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan di Putrajaya.

Pertukaran turut melibatkan Penolong Pengarah Perkhidmatan (Rekod Personel) Bahagian Perkhidmatan/Perjawatan, Jabatan Pengurusan Bukit Aman ACP Mohamad Lazim Ismail yang dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Wangsa Maju. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas