PASUKAN Osca dari Kota Kinabalu, Sabah berjaya merangkul juara kategori Cup Lelaki Terbuka 10 sebelah Karnival Ragbi Labuan 2023, baru-baru ini.
Pasukan itu menewaskan pasukan JLJ dari Negeri Sembilan, setelah kedua-dua pasukan terikat mata 12 sama namun di masa tambahan Osca berjaya melakukan ‘Try’ dan memusnahkan harapan pasukan JLJ untuk menjadi juara.

Kedua-dua pasukan itu menerima hadiah wang tunai, piala iringan dan juga medal.
Sementara itu, pasukan Titanium RC dari Keningau dan KK Sharks dari Kota Kinabalu, masing-masing berada di tempat ketiga dan keempat kategori itu.
Bagi kategori Plate pula pasukan RMAF Blackhawk berjaya menewaskan pasukan Labuan Drillers pada perlawanan akhir sekali gus menjuarai kategori tersebut.
Manakala, kategori Wanita Terbuka dua pasukan dari Labuan berentap pada perlawanan akhir di mana pasukan WiPers muncul juara sementara pasukan Labuan muncul naib johan dan tempat ketiga dimenangi pasukan PDRM dari Kuala Lumpur.
Karnival yang berlangsung selama tiga hari disertai hampir 30 pasukan dari dalam dan luar Labuan.
Kejohanan itu dianjurkan oleh Persatuan Ragbi Labuan dengan kerjasama Perbadanan Labuan yang berlangsung di padang Dataran Labuan. – WILAYAHKU