Berita

Pantai Kampung Tanjung Aru Nelayan di Labuan diancam hakisan serius

- Diterbit 9 Februari 2021 9:37 AM MYT

SEBUAH perkampungan kecil pesisir pantai, Kampung Tanjung Aru Nelayan, di pulau bebas cukai ini diancam hakisan yang serius sejak dua dekad yang lalu.

Perkampungan itu yang dihuni lebih 100 keluarga kini ‘berjuang’ untuk melindungi pantai di hadapan rumah mereka daripada lenyap ditelan ombak.

Hakisan itu berlaku sepanjang empat kilometer dari Anjung Ketam ke perkampungan tersebut iaitu merangkumi kira-kira lima peratus daripada saiz pantai Labuan.

Fenomena hakisan pantai itu benar-benar merisaukan penduduk yang menyedari ia semakin serius saban hari.

“Sebelum ini ia adalah pantai yang cantik dan sekarang jika anda melihatnya, ia telah hilang dan jika kita tidak berbuat apa-apa, tidak ada lagi pantai yang menarik yang ditinggalkan,” kata seorang penduduk kampung, Abdullah Arsat, 67.

Warga emas itu berkata beberapa bahagian pantai hanya mempunyai lebar dua atau tiga meter, berbanding 30 meter sebelum ini.

Sementara itu, Nurfirdaus Nordin berkata pantai itu sebelum ini mempunyai dua gazebo konkrit, tiga pondok kecil, tajakan bot dan sebuah padang bola sepak.

“Ada jalan kampung yang kecil, buaian tali dan lokasi untuk sesi fotografi di sepanjang pantai, tetapi semua telah lenyap sebab sebahagian pantai itu telah dibawa air laut,” kata Nurfirdaus yang juga aktivis belia di kampung itu.

Berikutan itu katanya penduduk kampung itu telah beberapa kali berpindah ke tempat lebih tinggi berikutan ancaman hakisan yang berterusan.

Ketua kampung, Harun Damit berharap agensi kerajaan yang berkaitan akan turun padang dan membina benteng pemecah ombak untuk melindungi pantai itu daripada pukulan ombak yang kuat.

“Kehilangan pasir pantai ini juga akan menjejaskan alam sekitar kerana banyak haiwan dan tumbuh-tumbuhan akan hilang habitat penting… dulu pantai ini tapak pendaratan dan bertelur untuk pelbagai spesies penyu,” kata Harun.

Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Labuan Dr Fary Akmal Osman berkata Labuan mungkin akan kehilangan semua pantainya yang menarik dalam tempoh 10 tahun melainkan langkah drastik diambil untuk menyelesaikan masalah hakisan kronik itu.

Beliau berkata langkah berkesan mesti dilaksanakan untuk memelihara pantai di pulau itu.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Labuan Juniaddi Awang Tuah memberitahu Bernama permohonan pembiayaan untuk kerja-kerja mitigasi di pantai itu tidak diluluskan.

“Hakisan di perkampungan pantai itu jatuh pada kategori dua dan tidak sama seperti hakisan pantai yang lain seperti pantai Sungai Miri/Sungai Pagar yang hampir dengan jalan utama dan infrastruktur lain. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas