Berita

PADU dibangunkan sepenuhnya penjawat awam tanpa pihak ketiga

RAFIZI di peluncuran PADU pada 2 Januari lepas
- Diterbit 9 Januari 2024 12:35 PM MYT

SISTEM Pangkalan Data Utama (PADU) dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga.

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, beliau mengambil maklum berkenaan siaran media sosial oleh sebuah stesen radio tempatan mengenai Ketua Pegawai Eksekutif Syarikat Accio Technologies, Dr. Cher Han Lau, mendakwa syarikat beliau terlibat dengan proses pembangunan PADU.

“Setelah semakan dilakukan dengan pasukan di Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), saya boleh mengesahkan bahawa dakwaan oleh Dr. Cher adalah tidak benar.

“Pasukan Analitik PADU telah menjemput Dr. Cher hanya dalam kapasiti peningkatan kemahiran sumber manusia (upskilling) dalam sains data berdasarkan keupayaan beliau dalam pembangunan data raya (big data) dan machine learning,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah Rafizi, proses pembangunan, pengumpulan atau pembersihan data PADU tidak melibatkan beliau ataupun sesiapa daripada syarikat beliau.

“Saya ingin menegaskan sekali lagi bahawa PADU dibangunkan sepenuhnya oleh penjawat awam tanpa penglibatan mana-mana pihak ketiga,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas