Berita

Operasi Sanitasi Awam serentak di red zone

JBPM menggunakan jentera mereka untuk Operasi Sanitasi Awam.
- Diterbit 30 Mac 2020 5:09 AM MYT

PUTRAJAYA – Negeri yang tidak menguatkuasakan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) turut menjalani Proses Disinfeksi besar-besaran anjuran Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

Menterinya, Zuraida Kamaruddin memberitahu, Operasi Sanitasi Awam itu dilaksanakan melalui Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) selaku ketua operasi bersama Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Ujarnya, kerja-kerja sanitasi awam akan dilakukan secara berfasa iaitu fasa pertama melibatkan kawasan kes tinggi (red zone area) yang mana kerja sanitasi akan dijalankan secara serentak.

“Bagi fasa kedua pula, ia melibatkan kawasan kes sederhana (orange zone area) dan
kerja-kerja sanitasi akan dijalankan secara berperingkat.

“Kerja-kerja sanitasi awam ini akan dijalankan di enam daerah zon merah iaitu Lembah Pantai, Petaling, Hulu Langat, Seremban, Johor Baharu dan Kluang.

“Ia melibatkan kerja-kerja sanitasi perabot jalan, kemudahan awam, pasar-pasar awam, laluan siar kaki, hab-hab pengangkutan awam dan lain-lain,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Zuraida, operasi itu juga akan turut dilaksanakan di kawasan projek perumahan rakyat (PPR) yang berada dalam daerah zon merah.

Sehubungan itu, beliau menyeru supaya komuniti setempat di kawasan yang terlibat memberi kerjasama agar pelaksanaan kerja sanitasi awam dapat dijalankan dengan baik.

Tambahnya, KPKT akan mengambil tanggungjawab untuk melaksanakan kerja-kerja sanitasi di tempat awam manakala bagi premis-premis persendirian, kerja-kerja sanitasi perlu dilaksanakan oleh pemilik dengan tanggungan sendiri.

Terdahulu, beliau hadir ke Operasi Sanitasi di Masjid Al-Falah, Kampung Sungai Ramal Dalam, Kajang dan Pasar Awam Jalan Othman, Petaling Jaya, Selangor. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas