Berita

Operasi mesin ATM dihadkan 8 pagi- 8 malam

- Diterbit 19 April 2020 8:35 AM MYT

PUTRAJAYA – Waktu operasi mesin pengeluaran wang automatik (ATM) dihadkan bermula pukul 8 pagi hingga 8 malam berkuat kuasa serta-merta.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, keputusan itu dibuat dalam Mesyuarat Jawatankuasa Menteri-Menteri Berkaitan Perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berdasarkan laporan Polis Diraja Malaysia.

Katanya, menurut laporan tersebut, orang ramai sering memberikan alasan bagi mengeluarkan wang sehingga tengah malam.

“Alasannya adalah kecemasan bagi mengeluarkan wang sehingga melebihi waktu ditetapkan.

“Justeru tiada lagi alasan untuk keluarkan wang di mesin ATM,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Sementara itu, beliau memberitahu seramai 1,111 individu ditahan dalam 820 sekatan jalan raya di seluruh negara semalam.

Ujar Ismail Sabri, daripada jumlah tersebut seramai 997 individu direman dan jaminan polis (114).

“Jumlah tangkapan kumulatif sehingga semalam adalah seramai 14,750,” katanya.

Dalam perkembangan berlainan, beliau menjelaskan Kementerian Dalam Negeri (KDN) setakat ini telah mewartakan sebanyak 11 daripada 13 akademi penjara sebagai pusat tahanan sementara.

“Penjara sementara bagi pesalah PKP ini akan beroperasi bermula 23 April depan dan Kementerian Kesihatan akan membantu dalam menyediakan petugas di situ,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas