Berita

Operasi buru pendatang haram tiada kaitan PKPB

PATI akan dihantar pulang ke negara asal.
- Diterbit 12 Mei 2020 9:32 AM MYT

PUTRAJAYA – Ops Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilaksanakan di negara ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau Bersyarat (PKPB).

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, tindakan berkenaan merupakan operasi berterusan dalam memastikan keselamatan negara daripada dibanjiri PATI.

Menurut beliau, undang-undang mengenai kemasukan warga asing tanpa dokumen adalah undang-undang digunakan di seluruh dunia.

“Saya percaya tiada mana-mana negara membenarkan warga asing masuk secara bebas ke negara mereka. Isu di Malaysia dihadapi negara lain. Kalau ada kritik, saya harap lihat undang-undang di negara mereka sendiri sama ada beri kebenaran atau membuka kepada sesiapa masuk tanpa dokumen atau sama dengan kita.

“Kalau sama dengan kita, saya percaya tindakan kita ada benar, berpatutan kerana Malaysia mempunyai undang-undang jelas mengenai PATI ini,” katanya dalam sidang akhbar harian di sini hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kritikan segelintir pihak terhadap pelaksanaan Ops PATI oleh Jabatan Imigresen semasa PKPB.

Dalam perkembangan berlainan, beliau memberitahu, pihaknya akan berbincang dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam mengawal kepatuhan orang ramai yang berkunjung ke Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) bagi rayuan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).

“Rayuan dibuka sehingga 31 Mei ini, banyak masa lagi. Justeru, tidak perlu tergesa-gesa pergi kaunter LHDN

“Tidak kira mana-mana sama ada kaunter LHDN, pasar, restoran, pasar raya perlu mematuhi SOP penjarakan sosial apabila beratur,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas