Artikel

Nyaris terjerat labu peram

"YOU kena ingat, ini Kuala Lumpur bukan Kangar. Di sini banyak ‘conman’ yang hidup dengan jual air liur,” pesan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Zainuddin Maidin (Zam) kepada penulis pada hari pertama melapor diri sebagai wartawan Utusan Malaysia pada 2 Januari 1984.
- Diterbit 29 Oktober 2021 6:00 AM MYT

KU SEMAN KU HUSSAIN

Wartawan Bebas

“Kau tak percaya aku?” tanya dia.

“Bukan tak percaya bang, tapi saya tak ada duit. Mana nak cekau RM100. Gaji saya pun hanya RM325.”

“Kau tak nak jadi macam aku?” katanya sambil menggentel-gentel kunci kereta. Saya tidak tahu pun kereta jenis apa daripada kunci itu.

Tidak pernah ambil tahu halhal kereta. Waktu itu tahun 1985 hendak makan pun tidak berapa cukup, tidak ada masa untuk ambil tahu hal kereta.

Hari itu sama seperti hari-hari sebelumnya. Dia memakai kot, tali leher diletak atas briefcase hitam di atas kerusi di tepinya. Nampak memang gaya orang kaya. Hisap rokok pun hanya sekerat kemudian ditenyeh dalam tempat abu.

Tetapi masih berasap. Kemudian dituangnya sedikit teh tarik dalam tempat abu itu.

“Aku tak paksa. Nak tolong saja. Nah, ini kad aku. Tapi aku selalu tak ada di pejabat,” kad namanya saya sambut dan tengok jawatannya – Pengurus Besar.

Umur dalam 40-an dan pertama kali jumpa dulu di warung Jalan Doraisamy. Sudah lupa entah macam mana dia boleh duduk di meja saya dan bercakap pasal pelaburan.

“Kerja tu kerja juga. Tapi nak harap gaji tak cukup. Peluang ada, kau kena fikir ubah masa depan,” dia seperti terus memujuk. Sejurus lepas meneguk teh tarik yang berbaki dia mengeluarkan duit kertas RM5.

Diletaknya atas meja warung mamak di belakang Hotel Merlin kemudian terus pergi. Dia menuju ke kereta merah yang tidak jauh dari tempat kami minum.

Tidak terus masuk dalam kereta, tetapi mengelilingi dulu kereta itu. Tidak tahu apakah yang dicari di sekeliling kereta itu. Selepas itu barulah masuk.

Kereta itu mengaum kuat dan bergerak. Selepas hilang di selekoh pun bunyi ngauman masih kedengaran.

Malam itu sebelum terlelap tawaran saham RM100 itu datang dan menerawang di fikiran. Saya pun berkira-kira sekali lagi tentang tawaran itu.

Kalau bagi RM200 dalam sebulan dapat RM600. Tersihir juga memikirkan duit sebanyak itu. Ada semacam kesal kerana tidak boleh melabur walaupun RM100.

Tetapi saya cepat-cepat memintas khayal yang semakin liar. Segera teringat pesanan Ketua Pengarang Zainuddin Maidin (Zam) pada hari pertama melaporkan diri di ibu pejabat Utusan Melayu pada 2 Januari 1984. Saya percaya pesanan itu sangat jujur.

Daripada beliaulah buat pertama kali saya mendengar istilah ‘conman.’ Selalu disebut ‘putar alam’ sahaja. Kata Zam, banyak ‘conman’ berkeliaran di Kuala Lumpur. Apabila saya terjegil seperti terkejut, Zam menekankan memang banyak orang yang baikbaik, tetapi terselit juga manusia jenis putar alam.

“You kena ingat, ini Kuala Lumpur bukan Kangar. Di sini banyak ‘conman’ yang hidup dengan jual air liur,” tegas Zam sambil merenung saya, budak kampung yang polos.

Saya mengangguk-angguk dan nasihat itu diterima bagai seorang anak daripada ayahnya. Hari demi hari, bulan demi bulan saya mulai memahami nasihat yang diberikan Zam pada hari pertama melangkah ke dunia kewartawanan.

Selepas setahun di Kuala Lumpur, memang benar kewujudan ‘putar alam’ yang berkeliaran mencari mangsa yang naif seperti saya.

Tetapi adakah individu yang memujuk saya melabur dalam saham itu putar alam? Saya yakin bukan. Tidak ada sebab untuk kita hendak curiga kepada orang yang tidak ada sesuatu yang mencurigakan? Tidak adillah untuk saya berprasangka orang baik sedemikian rupa hanya kerana adanya putar alam.

Maka ada sedikit kekesalan kerana tidak dapat merebut peluang mendapat pulangan besar dengan jumlah pelaburan yang kecil.

Malah dia meyakinkan saya sudah beberapa kali menuai hasil pelaburan itu. Boleh jadi itulah rezeki untuk saya, tetapi tidak dapat menyambut kerana tidak ada duit.

Dalam pertemuan sebelum itu, katanya, salah satu bukti pelaburan itu ialah kereta yang dimilikinya. Dia berpaling ke arah kereta merah menyala yang tidak jauh dari tempat kami minum. Kemudian sekali lagi dia menggentel kunci kereta, mungkin untuk menunjukkan jenisnya.

Dia menyebut beberapa nama termasuk yang saya kenal telah menerima pulangan paling kurang sekali.

Saya bertanyakan dengan mereka yang disebutkan. Memang benar mereka menerima pulangan dan sudah membuat pelaburan kedua dengan jumlah berkali ganda banyaknya.

Pengakuan saksi-saksi pelaburan itu agak menyakinkan saya yang individu itu bukan putar alam.

Dia mungkin menjadi mangsa keadaan yang secara kebetulan ada manusia putar alam. Maka saya pun memujuk diri, kalau ada rezeki tidak akan lari ke mana.

Tidak lama selepas itu, suatu petang ketika melepak di Central Market beberapa kawan di meja sebelah bercakap tentang pelaburan.

Awalnya saya hanya mendengar tanpa menyampuk. Tetapi selepas mengeluh dan marah kerana agen pelaburan itu ‘hilang’, saya merapati mereka untuk mendengar dengan jelas.

Saya terus mendengar dengan tekun dan sedikit demi sedikit gambaran pelaku itu sama dengan yang saya alami.

Ini termasuklah perihal kereta sport merah yang ditayang kepada saya tidak lama dulu. Khabarnya sudah hampir sebulan mereka gagal mengesan agen pelaburan itu.

Mereka melabur sudah lebih dua bulan dan kalau diikutkan sudah menuai pulangan yang berlipat ganda. Habis segala duit simpanan dilaburkan.

Tetapi kehilangan agen itu membayangkan satu yang mencurigakan. Bukan sahaja tidak dapat pulangan, pelaburan pun ikut hanyut.

Saya bangkit meninggalkan mereka dan menuju ke pondok telefon terdekat. Saya mendail nombor yang tertera dalam kad nama yang diberikan tempoh hari. Tiga kali dail tidak dijawab. Kali keempat baru dijawab. Suaranya seorang wanita Cina daripada cara bercakapnya.

Tetapi apabila saya kata hendak bercakap dengan general manager, wanita Cina itu dengan suara terkejut berkata, “Lu mau bikin apa dengan itu manager? Haiya… ini kedai ikan kering maa… mana ada manager. Gua tauke gua kuli.”

Tidak sampai seminggu selepas itu pecahlah berita di surat khabar mengenai labu peram. Unik namanya – labu peram.

Pertama kali saya mendengar tentang labu peram skim cepat kaya terawal yang muncul pada 1985.

Selepas itu hampir setiap hari surat khabar mendedahkan penipuan labu peram di seluruh negara.

Kerana hendak cepat kaya, banyak yang tersandar, terjelepuk malah ada yang terencat ingatan apabila habis simpanan dilaburkan dalam labu peram.

Saya nyaris menjadi sebahagian daripada mereka. Selepas peristiwa itu saya seperti tidak sampai hati melihat keadaan kawan-kawan yang hendak cepat kaya tiba-tiba menjadi kayap dan merana. Labu yang diperam tidak pernah masak. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas