Bagaimana menguruskan jenazah transgender?
SEGALA hukum-hakam yang berkaitan transgender adalah mengikut jantina asalnya.

Bagaimana menguruskan jenazah transgender?

Soalan

ASSALAMUALAIKUM WBT. Sekiranya seseorang transgender itu meninggal dunia, adakah jenazahnya diuruskan mengikut jantina yang ditukar atau jantina asalnya? Mohon pencerahan.

Jawapan

Wa’alaikumussalam WBT. Alhamdulillah segala puji dan syukur kami panjatkan kepada Allah SWT.

Selawat dan salam kami ucapkan ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, para isteri dan keluarga baginda, para sahabat, seterusnya golongan yang mengikuti jejak langkah baginda sehingga hari kiamat.

Menurut Islam, transgender merupakan amalan songsang dan perlakuan yang bertentangan dengan jantina.

Kategori ini boleh dirungkai dengan membawa maksud wanita seperti lelaki dan sebaliknya.

Segala perbuatan yang melibatkan proses penukaran jantina asal kepada jantina berlawanan ini jelas bertentangan dengan hukum Islam.

Di dalam syariat Islam, istilah ini paling dekat disebut dengan istilah al-mukhannath (lelaki yang menyerupai sifat kewanitaan) atau al-mutarajjil (wanita yang menyerupai sifat kelakian).

Hal ini berdasarkan sabda Nabi Muhammad SAW:

Maksudnya: Nabi SAW melaknat lelaki yang bersifat kewanitaan dan wanita yang bersifat kelelakian.

Riwayat al-Bukhari (5886)

Golongan transgender dilaknat oleh Nabi SAW sama ada lelaki yang menyerupai wanita atau sebaliknya.

Dalam hal ini ia merujuk kepada golongan lelaki yang menyerupai wanita dari pelbagai sudut sehingga menonjolkan seseorang lelaki itu sebagai wanita dan bukan lagi lelaki.

Imam al-Tabari berkata, hadis larangan tersebut menunjukkan tidak harus lelaki untuk menyerupai wanita dari aspek pakaian dan perhiasan yang dikhususkan kepada wanita dan juga sebaliknya.

(Rujuk: Fath al-Mun’im Syarh Sohih Muslim, 8/520).

Para ahli bahasa mengatakan maksud al-mukhannath ialah seperti berikut:

Para ahli bahasa berkata al-mukhannath ialah golongan yang menyerupai wanita pada perlakuan, perkataan dan gerak-gerinya.

Kadang-kadang ia berlaku secara semula jadi (bukan diadaadakan) tetapi kadang-kadang ia berlaku secara sengaja (diada-adakan).

(Rujuk: Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 14/163)

Oleh itu, berdasarkan maksud di atas al-mukhannath terbahagi kepada dua, iaitu ciri yang lahir secara semula jadi dan diada-adakan.

Sekiranya ciri wanita pada diri lelaki itu atau sebaliknya lahir secara semula jadi maka perbuatan itu tidaklah berdosa.

Manakala yang berdosa ialah sekiranya ciri tersebut diada-adakan secara sengaja.

(Rujuk: ‘Umdah al-Qari, 8/403).

Justeru, berdasarkan maksud transgender dan al-mukhannath yang telah disebutkan jelas bahawa seseorang individu kekal dengan jantina asalnya, cuma penampilannya sahaja yang menunjukkan jantina yang sebaliknya.

Oleh yang demikian, seorang lelaki kekal sebagai lelaki sekalipun dia berperwatakan seperti wanita.

Segala hukum-hakam yang terpakai ke atas dirinya juga adalah mengikut jantina lelaki.

Perkara ini dinyatakan oleh Shaikh al-Syarwani:

Sekiranya seorang lelaki berperwatakan seperti wanita atau sebaliknya, (jika ada lelaki yang menyentuhnya) tidak batal wuduk pada permasalahan yang pertama (lelaki yang berperwatakan wanita) dan batal wuduknya pada permasalahan yang kedua (wanita yang berperwatakan lelaki) kerana dipastikan bahawa tidak ada perubahan pada hakikatnya tetapi yang berubah hanyalah penampilannya sahaja iaitu berubah dari satu penampilan kepada bentuk-bentuk penampilan yang lain.

(Rujuk: Hawasyi alSyarwani, 1/137).

KESIMPULAN

Segala hukum-hakam yang berkaitan transgender adalah mengikut jantina asalnya.

Hal yang demikian disebabkan, hakikatnya tidak ada perubahan pada jantina asalnya iaitu daripada lelaki kepada wanita atau sebaliknya tetapi yang berubah hanyalah penampilan luarannya sahaja.

Oleh yang demikian, segala permasalahan berkaitan aurat, pemakaian, pengurusan jenazah seseorang transgender adalah mengikut jantina asalnya.

Wallahu A’lam. – WILAYAHKU

Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )