Berita

Nur Athikah juara Pertandingan Penulisan Kreatif MBMMBI

NUR Athikah (dua dari kanan) setibanya di Lapangan Terbang Labuan dan disambut oleh kedua-dua ibu bapanya.
- Diterbit 27 November 2022 9:00 AM MYT

PELAJAR Tingkatan Enam Atas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Labuan, Nur Athikah Hamdan telah melakar sejarah tersendiri apabila muncul sebagai johan dalam Pertandingan Penulisan Kreatif MBMMBI kategori menengah atas peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

“Kemenangan ini adalah sesuatu di luar jangkaan kerana hasrat awal hanyalah untuk penyertaan sahaja. Syukur kepada Allah,” katanya ringkas yang telah dibimbing oleh Nasthashia Masiri@Masrih.

Dengan kejayaan itu, beliau membawa pulang hadiah kemenangan berupa sebuah trofi dan sijil.

Sementara itu, Pengetua SMK Labuan, Mohd Nizam Yasim melahirkan rasa bangga atas kemenangan yang diraih.

“Ini dapat membuktikan bahawa slogan Wilayah Persekutuan Labuan Superb bukan hanya sebuah slogan retorik tetapi merupakan manifestasi dan keazaman murid-murid Labuan apabila bertanding di peringkat kebangsaan.

“Kejayaan beliau itu juga turut mengharumkan nama SMK Labuan dan Wilayah Persekutuan Labuan amnya,” tambah beliau.

Selain itu, kontinjen Labuan juga berjaya meraih tempat terbaik dalam kategori masing-masing.

Antaranya ialah Akif Kitli (SM St. Anthony), Moses Yii Xi Hong (SMK Labuan), Faiza Amalina Amdan (SM Sains) dan Janice Ann Julius (SM St. Anne).

Pertandingan koakademik anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia itu telah menarik penyertaan dari seluruh negara dalam pelbagai kategori.

Majlis pengumuman keputusan telah dibuat di Balai Budaya Tun Syed Nasir, Dewan Bahasa Dan Pustaka, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Sesi penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pendidikan, Sektor Perancangan dan Pengurusan PPD, Jabatan Pendidikan Kuala Lumpur, Dr Zalina Mohd Tahir. -WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas