Selebriti

Nourul suntik motivasi kesihatan mental

- Diterbit 8 Disember 2023 3:00 AM MYT

PENYANYI Nourul Wahab Depp, 46, nekad mahu memberi semula kepada peminat setelah mereka banyak membantunya sepanjang dia menjadi artis.

Untuk itu, Nourul mengorak langkah membantu masyarakat menerusi program perkembangan peribadi kesihatan mental antaranya Program Motivasi Fire Talk dan bimbingan yang dianjurkannya baru-baru ini di Kuala Lumpur.

Menurut Nourul, ramai yang stres dan mengalami anxiety (kebimbangan yang melampau) namun tidak tahu cara mahu keluar daripada penyakit tersebut.

“Kita manusia biasa yang tidak lari daripada stres. Apabila stres, saya banyakkan bersenam, berdiam diri, fokus pada diri saya dan betulkan apa yang saya mahukan.

“Apa matlamat dalam hidup. Matlamat ini kena betul sebab ia sangat penting. Tak semua orang faham apa yang saya buat. Jadi saya buat Fire Talk sebagai solution untuk enhance human, bukan menukar manusia.

“Kita tak boleh tukar karakter diri, tetapi boleh perbaiki apa yang patut. Itu yang saya cuba buat dalam program perkembangan peribadi. Saya punya matlamat sekarang sangat berbeza dengan kerjaya bisnes saya, Herbalife Nutrition yang membantu orang dari segi fizikal,” ujarnya.

Tambahnya, dia mahu memberi sesuatu yang lebih baik untuk peminat yang disayangi di luar sana lebih-lebih lagi tidak ramai yang tahu punca yang menyebabkan mereka mengalami anxiety.

“Mereka selama ini banyak menyokong kerjaya saya. Jadi saya nak sokong mereka dari segi emosi dan juga mental pula,” katanya yang nekad mahu terus membantu memulihkan masalah mental dalam masyarakat.

“Tak dinafikan, ramai juga yang masih dalam rawatan pakar psikiatri, tapi mereka menjalani rawatan tanpa mencari akar atau punca kenapa stres dan anxiety.

“Ini kerana kita tak tahu solusi atau cara nak selesaikannya. Jadi Fire Talk adalah salah satu cara penyelesaian untuk mencari diri. Saya ada cara atau kaedah yang berbeza,” ujarnya.

Dalam Program Motivasi Fire Talk dan bimbingan tersebut, Nourul menekankan soal kesihatan mental di samping menghiburkan penonton.

“Setiap orang, dalam diri masing-masing ada minda, tubuh dan jiwa. Ketiga-tiga ini harus selari. Inilah yang saya bawa dalam Fire Talk saya,” ujarnya kepada Wilayahku. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas