Berita

Nikah Mac Tahun Depan? “Kalau Ada Mesti Saya Beritahu” – INTAN LADYANA

Faiz Salleh dan Fahmi Azmi.|INTAN tidak mahu terlalu terbuka bercerita kisah cinta sebaliknya mahu fokus dengan tugasnya sebagai pelakon dan duta produk AG Beauty
- Diterbit 28 September 2020 12:08 PM MYT

PELAKON yang juga duta produk AG Beauty, Intan Ladyana menafikan khabar angin yang dia dan kekasihnya Harris Alif akan bernikah pada Mac tahun depan. 

Menurut Intan,38, dia sendiri tidak akan merahsiakan tarikh nikah jika sampai jodohnya nanti. 

“Siapa cakap? Saya pun baru dengar ni. Kalau ada (tarikh nikah) mesti saya beritahu. Tak akan la saya tak nak beritahu,” katanya kepada Wilayahku. 

Pemilik nama sebenar Intan Nurladyana Mohamat Yahaya ini ditemui ketika sidang media pelancaran dan pelantikannya sebagai duta produk AG Beauty di Hotel Mandarin Oriental, Kuala Lumpur pada petang tadi. 

INTAN sebagai duta produk AG Beauty bersama tiga pengarah syarikat produk AG Nutrition iaitu (dari kiri) Hafiz Salleh, Faiz Salleh dan Fahmi Azmi.

Intan yang mula rapat dan bercinta dengan Harris awal tahun ini berkata tidak mahu terlalu berkongsi kisah cinta kepada umum kerana bimbang hubungan tersebut tidak berakhir seperti yang diinginkan.

“Saya memang dari dulu dan sekarang sama. Saya suka keep in private. Tiba-tiba kalau tak jadi nanti malu. Lebih baik diam. Tak selesa cerita pasal peribadi. 

“Bercinta perbezaan umur ni tak salah. Sebab itu saya ambil pendekatan untuk tidak bercerita sangat. Takut orang lain pun bercakap benda itu dan saya tak suka,” katanya yang cukup tertarik dengan perwatakan yang dimiliki oleh Harris atau nama sebenarnya Nor Harris Alif Nor Rashidi, 21. 

INTAN tidak mahu terlalu terbuka bercerita kisah cinta sebaliknya mahu fokus dengan tugasnya sebagai pelakon dan duta produk AG Beauty

Intan mengaku sikap Harris yang matang dan memahami menjadikan dirinya senang dan selesa. Baginya, perbezaan usia 17 tahun bukan penghalang dalam percintaan. 

“Dia lebih matang daripada usianya dan senang nak berkomunikasi dengannya. Dia faham apa yang kita nak sampaikan. Selalunya perbezaan umur ini susah nak berkomunikasi tapi dengan dia tidak. 

“Dia tak macam lelaki yang sebaya dengannya. Saya pun baru mengenali dia, jadi tak tahu  lebih mendalam mengenai dia. Kita pun belajar benda baru daripada orang lain. 

“Memang tak ada masalah, kalau dah itu jodoh… lebih tua ke atau muda, nak buat macam mana. Tapi kalau dah memang ada keserasian dengan orang lebih berusia atau muda, saya okay saja,” ujarnya yang sebelum ini popular menerusi filem Jangan Pandang Belakang, Adnan Sempit, Bini-Biniku Gangster, Adnan Sempit Sawadikap dan banyak lagi.

Menyentuh soal kerjaya Harris pula, selain menyanyi dan berlakon, dia juga aktif sebagai pengacara  atau program televisyen seperti M-Pop, Banana Squad, Chichi Chacha dan banyak lagi.

Doakan yang terbaik buat Intan Ladyana dan Harris Alif. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas