Berita

BELLA ASTILLAH Tidak Kesal, Bangga Dengan ALIFF AZIZ

Didi Astillah ketik berniaga Laksa Bah di Havoc Food Festival 3.0 di Shah Alam
- Diterbit 28 September 2020 10:00 PM MYT

PENYANYI Bella Astillah tidak pernah berasa kesal malah bangga dengan keberanian suaminya, Aliff Aziz yang sudah menjalani hukuman penjara selama dua minggu dan dibenarkan pada Ahad lalu.

Pemilik nama sebenar Dayang Ara Nabellah Awang Astillah,26, ini juga tidak pernah jemu memberikan kata-kata semangat buat suaminya itu. 

“Tak semua orang berani mengaku kesalahan dan saya bangga dengannya.

“Alhamdulillah ramai yang mendoakan tapi ada juga mulut-mulut jahat yang kata dia buat hal lagi sedangkan itu kes lama.

“Aliff sudah menerima balasan di dunia dan dia sedang memperbaiki dirinya. Saya selalu berpesan kepadanya supaya sentiasa kuat. Sebagai seorang lelaki, dia kena mengaku kesilapannya.

“Dia mengaku kesilapan dan tidak lari daripada yang telah dia lakukan. Dia memang bersalah, jadi kenalah terima hukuman yang telah ditetapkan,” katanya kepada Wilayahku.

Aliff dijatuhi hukuman penjara dua minggu dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Negara Singapura selepas didapati bersalah mencuri dan berkelakuan tidak sopan di khalayak ramai dalam kejadian yang berlaku tahun lalu.

Dalam pada itu, ramai peminat kagum dan menjadikan ketabahan hati Bella sebagai inspirasi terutamanya ketika Aliff menjalani hukuman penjara. 

“Saya fikir positif dan anggap semua ini akan habis. Mungkin ia lambat, tapi ia akan habis. 

“Takkan saya nak meratap, meraung atau stres. Cuma apa yang Saya tahu, lambat atau cepat, kita kena sentiasa bersabar. 

“Saya juga tidak pernah mempamerkan kesedihan di hadapan anak. Disebabkan itulah saya ke mana-mana pun mesti dengan keluarga. Merekalah kekuatan saya,” ujarnya lagi ketika ditemui di Havoc Food Festival 3.0 di Stadium Shah Alam selama tiga hari bermula Jumaat hingga Ahad, baru-baru ini.

Laksa Bah Laris! 

Havoc Food Festival 3.0 yang berlangsung pada 25 hingga 27 September baru-baru ini mendapat sokongan daripada Tourism Malaysia dan Majlis Bandaraya Shah Alam. 

Turut hadir pada majlis perasmian Havoc 3.0 adalah Pengarah Tourism Malaysia, Datuk Dr Ammar Abd Ghapar.

Apa yang menarik, Bella memanjatkan rasa syukur apabila laksa jualannya iaitu Laksa Bah laris sehingga tidak menang tangan.

BELLA bersama adiknya yang juga penyanyi, Didi Astillah ketik berniaga Laksa Bah di Havoc Food Festival 3.0 di Shah Alam, Selangor.

“Ini adalah kali ketiga saya sertai karnival makanan Havoc. Sebenarnya saya seronok bila berniaga cuma buat masa sekarang tak ada perancangan nak besarkan lagi empayar perniagaan..

“Sebab saya masih ada adik yang bersekolah dan saya tak rasa yang saya ada masa untuk fokus bisnes buat masa sekarang. Tapi kalau ada lagi karnival macam ini, saya akan turut serta.

“Saya sangat gembira kerana karnival ini membantu saya menambah pendapatan. Respons yang diterima daripada pengunjung yang datang pun baik,” katanya. 

Acara yang memberi peluang kepada barisan selebriti dan peniaga tempatan menjana pendapatan selepas terjejas teruk akibat pandemik Covid-19 menyaksikan pengunjung yang hadir mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. -WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas