Selebriti

Nikah 26 Februari tahun depan, Zalif Sidek lega boleh rentas negeri

- Diterbit 21 Oktober 2021 5:34 AM MYT

PELAKON Zalif Sidek meluahkan rasa lega susulan kebenaran aktiviti merentas negeri sejak minggu lalu, sekai gus memudahkan proses persiapan kahwinnya bersama tunang, Anis Marzuki, 24.

Menurut Zalif, 36, dia bersyukur kerana setakat ini semuanya berjalan lancar dan mereka sepakat memilih 26 Februari 2022 depan sebagai tarikh nikah.

“Syukur alhamdulillah saya dan bakal isteri kini sedang giat buat persiapan majlis kahwin yang masih berbaki empat bulan lagi.

“Ikutkan perancangan pihak saya nak hantar rombongan pada 1 Syawal lalu, namun ia terpaksa dianjakkan kepada tarikh baru kerana ‘lockdown’, tak boleh nak rentas.

“Jadi kami ambil keputusan untuk serahkan cincin terlebih dulu untuk majlis tunang. Ketika itulah kedua belah keluarga sepakat untuk langsung majlis nikah pada 26 Februari depan. InsyaAllah,” katanya.

Zalif yang berlakon dalam drama bersiri Malaysian Ghost Stories episod Ulek Mayang ini pada masa yang sama menjelaskan, persiapan menjelang hari bahagia sudah pun melebihi 50 peratus.

“Jujurnya, tiada apa-apa maksud istimewa di sebalik tarikh tersebut. Cumanya tarikh itu dirasakan waktu paling sesuai untuk kedua keluarga kami bertemu dan saling berkenalan.

“Selain itu ada juga antara keluarga saya yang belum berkesempatan untuk bertemu ketika bapa meninggal dunia Januari lalu. Inilah masa untuk kembali rapatkan silaturrahim.

“Persiapan pun sudah lebih 50 peratus. Bila sudah tempah dewan, tak perlu lagi nak fikirkan soal pelamin apa semua kerana semuanya sudah disediakan. Tinggal lagi nak cari baju kahwin dan cukupkan hantaran,” jelasnya.

Sementara itu, Zalif yang kini turut terlibat bersama ‘team’ produksi penerbitan, Dream At Work Sdn Bhd menambah, dia dan pasangan memilih untuk melangsungkan majlis secara sederhana.

“Awalnya memang ada rancang untuk anjur majlis dengan lebih meriah, tapi bila mengenangkan fasa pandemik ini, kami pilih untuk bersederhana sahaja.
“Kalau nak diikutkan pun, saya okay saja kalau perlu nikah dulu, majlis kemudian.

“Malah sebelum ini pun ada juga rakan artis yang bernikah secara atas talian atas sebab tertentu.

“Saya tak kisah cuma kami pun perlu hormati permintaan kedua belah keluarga. Tak boleh nak pentingkan diri-sendiri juga,” katanya lagi. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas