Selebriti

Ayie Floor88 sah suami Tasha Awie

|AYIE dan Tasha kini sah bergelar suami isteri.
- Diterbit 21 Oktober 2021 3:33 AM MYT

DENGAN sekali lafaz vokalis kumpulan Floor88, Ayie kini sah bergelar suami kepada Tasha Awie selepas 10 bulan mengikat tali pertunangan.

Pasangan itu dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Ahmad Nawawi Mad Nasir di Masjid Ukay Perdana, Ampang, Selangor kira-kira pukul 10.20 pagi ini.

AYIE dan Tasha kini sah bergelar suami isteri.

Usai pernikahan, Ayie atau nama sebenar Nik Fadlee Elhamshah, 23, meluahkan rasa syukur kerana majlis tersebut berjalan lancar dan dipermudahkan.

“Alhamdulillah semuanya dipermudahkan, macam tak percaya akhirnya saya dan Tasha selamat disatukan sebagai suami isteri hari ini.

“Syukur majlis berjalan lancar meskipun kita masih lagi berdepan dengan pandemik COVID-19,” katanya.

Dalam majlis yang diadakan secara tertutup itu, Ayie menyerahkan mas kahwin RM1000 bersama gelang dan cincin emas tanpa wang hantaran.

Ayie dan Tasha atau nama sebenar Nur Natasha Ahmad Nawawi, 22, mengikat tali pertunangan di Lanai Anggun, Eco Sky, Kuala Lumpur pada Januari lalu.

Dalam pada itu, Ayie berkata dia terbuka hati menjadikan Tasha sebagai isteri kerana sikap penyayang dan pandai menguruskan hal berkaitan rumah tangga.

“Dia suka budak, pandai memasak dan menguruskan hal rumah,” ujarnya yang belum mempunyai perancangan untuk berbulan madu.

Semoga ikatan perkahwinan ini kekal bahagia hingga ke akhir hayat. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas