Biz

Niat bantu orang lain antara rahsia kejayaan usahawan muda, Taufik Khairuddin

Mohd. Taufik Khairuddin (kiri) dan Ketua Pemasaran
- Diterbit 5 September 2021 11:35 PM MYT

TIADA siapa yang menjangka penularan COVID-19 yang melanda meninggalkan kesan yang besar terhadap landskap ekonomi dunia.

Begitu juga di Malaysia, pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lalu telah menyebabkan sektor ekonomi negara lumpuh seketika dan banyak perniagaan turut menerima kesan.

Namun berbeza pula dengan usahawan muda, Mohd. Taufik Khairuddin,30, yang tidak menyangka perniagaannya semakin berkembang maju dalam situasi getir ini.

PENGARAH Urusan Madbean Holdings (Madbean), Mohd. Taufik Khairuddin (kiri) dan Ketua Pemasaran Madbean Holdings, Hanif Jamaluddin ketika ditemuramah pihak media.

Malah menurut Pengarah Urusan Madbean Holdings (Madbean) ini, jualan produknya turut melonjak ke tahap luar biasa.

Berkongsi rahsia kejayaan syarikatnya, bekas kakitangan Rayani Air memberitahu, niat ingin membantu orang lain menjadi antara faktor utama dia mencapai kejayaan pada hari ini.

Selain melakukan kerja amal hasil daripada rezeki yang diperolehi, kebajikan ejen juga menjadi keutamaan dengan memberi penghargaan kepada mereka yang membuat jualan tertinggi.

Malah katanya, dia juga membuka peluang pekerjaan kepada rakan-rakannya daripada industri penerbangan yang hilang pendapatan sejak PKP bermula tahun lalu.

“Selain ejen sistem, kami juga menggunakan konsep pemasaran menerusi 500 influencer dalam membina jenama Madbean kepada pengguna akhir.

“Pada masa sama, kami juga merancang untuk mengembangkan pasaran produk di luar negara di mana ketika ini Singapura dan Brunei sudah berjaya ditembusi.

“Dalam masa terdekat, Madbean akan memasuki pasaran Indonesia cuma kekangan yang dihadapi adalah larangan rentas negara walaupun perbincangan sudah dilakukan,” katanya kepada WILAYAHKU ketika ditemui di pejabatnya di The Place, Cyberjaya.

Turut hadir Ketua Pemasaran Madbean Holdings, Hanif Jamaluddin.

Dalam masa yang sama, Mohd. Taufik juga menasihati usahawan lain yang terkesan dengan PKP agar tidak risau dengan senario yang dihadapi sebaliknya mengambil peluang untuk bertukar bidang.

MOHD. Taufik mahu membantu lebih ramai orang dengan menjadi ejen bawah syarikatnya

Menurutnya, bidang makanan dan minuman adalah pilihan terbaik untuk diceburi ketika negara berdepan pandemik.

“Saya juga dulu pernah ceburi bidang lain seperti kek, kosmetik dan feysen dan namun memberani diri mencuba bidang lain.

“Bagi saya bidang makanan dan minuman paling sesuai kerana masyarakat perlu mengisi perut walaupun apa juga keadaan yang lalui setiap hari,” jelasnya lagi.

Menyentuh tentang kejayaan yang dicapai, Mohd Taufik berkata, syarikatnya yang mengeluarkan produk makanan hanya mencatat jualan RM100,000 sebulan pada awal operasi dua tahun lalu.

Namun jualan syarikatnya naik mendadak sehingga permintaan tidak dapat dipenuhi bermula pertengahan lalu di sebalik pelaksanaan PKP di negara ini.

Misalnya, rangkaian produknya seperti Mellow, Viscoff, The Vanilla Bean dan Thachos mencatat jualan RM2 juta sebulan pada bulan lalu.

“Kami bermula dengan satu kilang dan kini Madbean memiliki enam kilang manakala seramai 150 kakitangan berbanding lapan orang pada awal operasi dulu.

“Lebih membanggakan, kami juga mempunyai 32 rakan kongsi berbanding lima rakan kongsi selain 12,000 ejen ketika ini berbanding 300 ejen sebelum ini.

“Justeru, Madbean yakin mencapai sasaran 20,000 ejen pada akhir 2022 dengan pendapatan mereka antara RM3,000 ke RM5,000 sebulan,” ujarnya.

MENURUT Taufik dan Hanif, mereka turut menggunakan konsep pemasaran menerusi 500 influencer dalam membina jenama Madbean.

Madbean yang dibangunkan sejak dua tahun lalu kini menawarkan lima rangkaian produk iaitu daripada kategori Mellow, Viscoff, Zombie Cookies, The Vanilla Bean dan juga Thachos yang mana harga ditawarkan pada harga semurah RM13.90 sehingga RM33 manakala kek dari The Vanilla Bean pula dijual antara RM55 hingga RM150.

Lebih menarik produk segmen Zombie Cookies telah berada di 650 cawangan Watson di seluruh negara sejak dua tahun lalu memberi nafas baharu kepada perkembangan syarikat sekali gus mengukuhkan lagi jenama produknya di pasaran tempatan.

Tiga perisa Zombie Cookies yang terdiri daripada red velvet, mocha dan caramel telah mendapat sambutan yang menggalakkan daripada pelanggan. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas