Berita

MYSA sasar jadi pembangun teknologi angkasa

||||
- Diterbit 19 Oktober 2020 10:17 AM MYT
BAHAGIAN 1

SEJAK penubuhannya pada tahun 1988, Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA) telah dipertanggungjawabkan untuk merintis teknologi yang berkaitan dengan angkasa lepas.

Pada 20 Februari 2019, Kerajaan Malaysia melalui Mesyuarat Kabinet telah meluluskan pembentukan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) melalui rasionalisasi penggabungan Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA) dan Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM).

Penggabungan itu merupakan satu inisiatif kerajaan dalam menerajui pelaksanaan Dasar Angkasa Negara 2030, khususnya bagi mengukuhkan tadbir urus kerajaan dalam sektor angkasa.

Melalui sambutan Minggu Angkasa Sedunia (World Space Week) yang disambut dari 4 Oktober hingga 10 Oktober setiap tahun, ia menunjukkan peranan MYSA dalam membangunkan teknologi angkasa di samping menanamkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan orang ramai berkenaan dengan teknologi tersebut.

Bagi mengenali dan memahami dengan lebih dekat peranan MYSA, wartawan kanan Wilayahku, Azlan Zambry serta jurugambar Amin Farij Hasan menemubual Ketua Pengarah MYSA, Azlikamil Napiah di Ibu Pejabat MYSA baru-baru ini.

WILAYAHKU : Bolehkah tuan ceritakan latar belakang Agensi Angkasa Negara (MYSA)?
AZLIKAMIL :
Agensi Remote Sensing Malaysia (ARSM) dan Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA), merupakan dua agensi yang saling berkait kerana menjalankan fungsi berkaitan dengan teknologi angkasa.

ARSM menerajui aktiviti ‘downstream’ ataupun hiliran manakala Agensi Angkasa Malaysia (ANGKASA) pula menerajui aktiviti huluan iaitu ‘upstream’ yang berkaitan dengan teknologi angkasa.

Ia bermula pada tahun 1988, pada ketika teknologi angkasa ini lebih cenderung dimanafaatkan untuk tujuan kedaulatan dan keselamatan negara kerana maklumat yang dihasilkan melalui teknologi angkasa ini dapat menyokong dengan baik keperluan perisikan dan keselamatan. Justeru apabila kerajaan menubuhkan agensi MRSC di bawah MOSTI, pada 2008 agensi ini dinaiktaraf menjadi sebuah jabatan menjadi Agensi Remote Sensing Malaysia.

Sepanjang tempoh 1988 hingga 2008, Agensi Angkasa Negara ditubuhkan dan pada masa itu diberi mandat untuk melaksanakan dasar-dasar dan aktaakta yang bersesuaian untuk dilaksanakan dalam negara. Hari ini apabila kerajaan melihat keperluan kedua-dua agensi itu digabungkan, supaya menjadi satu ekosistem yang besar dan dapat memainkan peranan yang lebih berkesan dan aktif. Maka kerajaan memutuskan keduadua agensi ini digabungkan menjadi MYSA.

Difahamkan, kerajaan telah melancarkan Dasar Angkasa Negara 2030 sebagai pemangkin kepada pengukuhan teknologi angkasa, bolehkah tuan jelaskan perkara tersebut?

Hasrat pada tahun 2030, kita bukan lagi sebagai pengguna tetapi menjadi pencipta kepada teknologi-teknologi terkini yang berkaitan dengan angkasa.

Sehingga pada tempoh RMK10 dan sebahagian RMK11, kita masih lagi pengguna, bermakna kita masih bergantung dengan negara luar berkenaan dengan prasarana, maklumat dan lain-lain yang berkaitan.

Kita mesti mempunyai teknologi sendiri yang perlu dibangunkan dan boleh dimanfaatkan oleh masyarakat kita untuk aspek keselamatan dan pembangunan.

Apabila MYSA ditubuhkan dan ia bertepatan kerangka yang kerajaan inginkan, kita wujudkan tujuh teras yang telah dirangkumkan dalam program besar iaitu Malaysia Space Exploration 2030.

Dalam pada itu, terdapat empat kluster yang mesti dibangunkan agar mencapai sasaran iaitu sekurangkurangnya yang pertama, teknologi angkasa dapat menyumbang 0.3 peratus kepada GDP negara.

Yang kedua, ia mampu mewujudkan 5,000 peluang pekerjaan dalam sektor yang berkaitan dengan teknologi angkasa.

Ketiga, mampu menyumbang kira-kira RM40 juta setahun kepada pendapatan negara berdasarkan operasi satelit dan penjualan data-data seluruh negara dan keempat, kita berhasrat untuk menjadi antara tiga negara terbaik Asia Tenggara dalam pembangunan dan pengoperasian teknologi angkasa.

Apakah sebenarnya teknologi angkasa ini dan apakah sumbangannya kepada negara?

Teknologi angkasa ini dapat dilihat pelbagai aspek dan akan menjurus kepada penggunaan satelit yang dilancarkan ke angkasa lepas di ruang udara melepasi 100 kilometer ke atas.

Satelit ini pula mempunyai pelbagai jenis, satunya dipanggil satelit komunikasi yang sekarang digunakan oleh masyarakat dunia untuk tujuan perhubungan dan siaran langsung dan sebagainya.

Ada satu jenis satelit lagi iaitu menentukan kedudukan kita atas permukaan muka bumi yang lebih dikenali sebagai Global Positioning System (GPS).

Dengan satelit ini kita dapat ukur kedudukan kita di atas muka bumi dan dikenali sebagai penentu ukuran. Ada satu kelompok satelit lagi digunakan khas untuk mencerap maklumat permukaan muka bumi. Inilah yang dirujuk sebagai satelit remote sensing.

Bayangkan apabila ia mencerap semua maklumat diatas muka bumi dan permukaan bumi, kita akan dapat mengumpulkan beribu maklumat yang boleh digunakan untuk pelbagai tujuan.

Melalui Dasar Langit Terbuka atau Open Space Policy yang diamalkan negara di dunia, mereka telah pun berbincang mengenai penerokaan ke planet Marikh.

Sudah pasti, ia bukan sekadar penerokaan planet Marikh semata-mata, tetapi apa yang utama adalah penciptaan teknologi-teknologi terkini yang moden dan canggih yang berkaitan dengan usaha ke arah penerokaan planet tersebut.

Minggu Angkasa Sedunia 2020 didedikasikan untuk satelit dan faedahnya yang luas di bawah tema “Satellites Improve Life” atau “Satelit Meningkatkan Kehidupan” dan ia perlu difahami dengan tepat. Satelit adalah satu rekacipta penting dan mempunyai pelbagai fungsi dalam kehidupan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas