Berita

Selepas Dihalau Dari Rumah, Anak Menangis Rindukan ASHIRA

Megat Shazril saling merindui.
- Diterbit 19 Oktober 2020 3:11 PM MYT

SUDAH lama tidak bertemu, anak mana tidak rindukan ibunya. 

Begitulah yang dialami anak kepada Ashira Aziz, Megat Shazril Haziq Hadi, 14 tahun apabila menyaksikan ibunya membuat persembahan sempena konsert Gegar Vaganza minggu kedua. 

Linangan air mata Megat Shazril dalam satu video berdurasi 21 saat yang dimuat naik oleh kakak Ashira, Shasha Aziz dalam Twitter sebaik sahaja wanita tersebut mahu membuat persembahan, membuatkan ramai warganet turut bersedih.

ASHIRA dan anaknya, Megat Shazril saling merindui.

Sudah tiga minggu tidak bertemu dengan anaknya yang kini di bawah jagaan sementara Shasha, ternyata emosi tidak dapat dibendung lagi buat Shazril yang menitiskan air mata rindu kepada ibunya.

“Memang rindu sangat kepadanya tetapi apakan daya saya masih lagi berjuang dalam GV7. Saya menangis bila melihatkan video itu dimuat naik oleh kakak, tidak terluah dengan kata-kata.

“Sekarang saya masih berjuang dalam rancangan ini. Insya-Allah apabila tamat nanti saya akan mencari rumah dan kami dapat duduk kembali bersama seperti dulu,” kata Ashira.

Dalam pada itu, Ashira yang menyampaikan lagu Sempurna yang didendangkan oleh Andra & The Back Bone menganggap lagu tersebut sebagai pembakar semangat untuknya meneruskan hidup dengan sempurna selepas ini.

Meskipun berstatus ibu tunggal, dia tetap mahu mencari kesempurnaan untuk keluarga kecilnya itu dan menganggap Shazril adalah segala-gala buatnya.

“Doakan supaya saya kuat menempuh dugaan ini. Dalam keadaan berjauhan dengan anak, saya hanya minta agar dikuatkan hati sahaja,” tambahnya.

Terdahulu, Ashira diarahkan keluar dari rumah sewa beberapa bulan yang lalu. Dia yang kehilangan mata pencarian akibat impak pandemik Covid19 terpaksa ‘menyerahkan’ Shazril kepada Shasha dan dia pula menumpang di rumah kakak kelimanya, Sharifah Nur Azita. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas