Berita

Mydin Putrajaya sedia laluan khas untuk ‘frontliner’

KAUNTER khas turut disediakan untuk frontliner.
- Diterbit 30 Mac 2020 6:41 PM MYT

PUTRAJAYA – Menyedari pengorbanan yang dilakukan petugas barisan hadapan (frontliner), Mydin Putrajaya tampil dengan inisiatif tersendiri apabila menyediakan laluan khusus untuk golongan terbabit membeli barang keperluan asas setiap hari.

Langkah tersebut sekali gus memudahkan urusan petugas-petugas terlibat dalam mengendalikan kehidupan harian mereka di samping bebanan tugas yang dihadapi.

Pengurus Jabatan Mydin Putrajaya, Muhammad Naqib Aniq Abdul Kahar berkata, laluan khusus itu dibuka selama 30 minit bermula pukul 8 pagi.

“Selain petugas barisan hadapan, laluan khusus ini juga disediakan untuk kemudahan warga emas, orang kelainan upaya (OKU) dan ibu mengandung.

“Mereka juga mempunyai kaunter bayaran khas sekali gus memudahkan urusan beli belah,” katanya kepada Wilayahku.

Mengulas tentang langkah yang diambil bagi memastikan patuhan jarak sosial pelanggan, ujar Muhammad Naqib Aniq, sejak beroperasi dari pukul 8 pagi hingga 8 malam, hanya 40 pelanggan yang dibenarkan masuk dalam satu-satu masa.

Jelasnya, Mydin turut menyediakan garisan di atas lantai supaya pelanggan dapat mengetahui jarak yang perlu dipatuhi mereka.

“Kita kawal daripada sebelum pelanggan masuk, cek suhu dan pastikan semua pelanggan memakai pembersih tangan yang disediakan.

“Kita kawal pelanggan masuk supaya dalam ni tidak akan padat. Kita juga sudah sediakan garisan untuk mereka mematuhi jarak sosial dan petugas di setiap lokasi mempunyai walkie-talkie, bila penuh di satu-satu bahagian kita akan kawal daripada depan,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas