PERSEKUTUAN Luncur Air dan Wakeboard Malaysia (MWWF) berhasrat menghidupkan semula program latihan akar umbinya sempena Kejohanan Ski Air dan Wakeboard Malaysia yang akan berlangsung di Kompleks Sukan Air Presint 6, Putrajaya, esok.
Acara tersebut merupakan kejohanan luncur air dan ‘wakeboard’ terbesar pertama di Malaysia dalam tempoh empat tahun selepas pandemik COVID-19 dan MWWF akan menggunakan kesempatan itu untuk melancarkan program Pencarian Bintang Baharu Luncur Air Malaysia yang bermula Ogos ini.
Setiausaha Kehormat MWWF yang juga Ketua Jurulatih Hanifah Yoong berkata badan sukan itu menyasarkan 10 atlet berpotensi daripada program itu untuk diserap ke dalam skuad remaja negara bagi bersaing pada temasya Sukan SEA 2027 yang dihoskan Malaysia.
“Sukan luncur air, seperti sukan bukan popular lain di negara ini, terjejas teruk disebabkan pandemik COVID-19 kerana kami tidak dapat melakukan sebarang aktiviti hampir tiga tahun.
“Akibatnya kami kehilangan ramai atlet dan adalah mustahil untuk melatih atlet baharu serta menaja sebahagian latihan mereka berikutan masalah kewangan dihadapi MWWF dan ahli gabungan. Kami berharap program kami dapat dijalankan semula dengan inisiatif baharu ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Hanifah berkata 10 atlet terpilih akan menjalani latihan dua kali seminggu selama sebulan dengan 50 peratus perbelanjaan ditaja MWWF.
“Selepas sebulan, 10 pelatih itu akan disenarai pendek kepada lima orang. Mereka kemudian akan berlatih tiga kali seminggu dan kali ini kelima-lima pelatih akan ditaja 60 peratus oleh MWWF.
“MWWF akan menilai perkembangan mereka dan pada akhirnya selepas setahun tiga pelatih akan dipilih. Mereka akan diserap dalam skuad remaja negara dengan sasaran mewakili Malaysia dalam acara luncur air di Sukan SEA 2027 bersama skuad senior MWWF,” katanya. – BERNAMA