Berita

Musim perayaan: Bekalan ayam dijamin sentiasa cukup – Mohamad

KREDIT foto: BERNAMA.
- Diterbit 23 Disember 2023 1:00 PM MYT

KEMENTERIAN Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memberi jaminan bekalan ayam mentah akan sentiasa mencukupi sepanjang musim perayaan sehingga tahun depan.

Menterinya, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata pihaknya juga telah bersedia memastikan bekalan itu mencukupi bagi menghadapi dua perayaan terdekat iaitu Hari Krismas dan Tahun Baharu China yang akan disambut pada bulan ini dan Februari depan.

“Sambutan Hari Krismas kurang (permintaan), Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan itu memang perlu ada kecukupan bahan makanan. Insya-Allah bekalan ayam akan sentiasa mencukupi,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Konvensyen Nasional Parti Amanah Negara (Amanah) 2023 di sini hari ini.

Sementara itu, ditanya mengenai lima syarikat pengeluar makanan haiwan ternakan yang dikenakan penalti selepas didapati bersalah menetap dan menyeragamkan secara bersama harga produk mereka, Mohamad berkata isu manipulasi harga tersebut adalah di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup.

Bagaimanapun katanya KPKM sentiasa bekerjasama erat dalam menangani isu keterjaminan makanan bagi memastikan isu manipulasi dan bekalan makanan untuk keperluan rakyat diuruskan sebaik mungkin.

Semalam Suruhanjaya Persaingan (MyCC) dalam keputusannya berkata lima syarikat terbabit didapati melanggar Seksyen 4(1) Akta Persaingan 2010 kerana membuat perjanjian mendatar atau menegak dilarang antara perusahaan dengan matlamat atau kesan menghalang, menyekat atau mengganggu persaingan secara signifikan dalam apa-apa pasaran barang atau perkhidmatan.

Kelima-lima perusahaan itu didapati bersalah kerana berpakat menaikkan harga makanan ternakan ayam menerusi beberapa platform, termasuk hubung kait rekod komunikasi bersama pengurusan tertinggi, nota mesyuarat dan keterangan saksi, di antara Januari 2020 hingga Jun 2022. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas