Berita

Muhammad Sanusi mulakan tugas hari pertama sebagai Menteri Besar Kedah

- Diterbit 18 Mei 2020 4:41 AM MYT

Menteri Besar Kedah baharu Muhammad Sanusi Md Nor memulakan tugas hari pertama beliau di Wisma Darul Aman di Alor Setar hari ini.

Ketibaan Muhammad Sanusi, 46, disambut Ketua Setiausaha Sulit beliau Datuk Armishah Siraj sebelum mengetip kad perakam waktu pada 8.43 pagi.

Beliau kemudian beramah mesra bersama pegawai dan kakitangan Pejabat Menteri Besar kira-kira 10 minit sebelum memulakan tugas.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu mengangkat sumpah sebagai menteri besar baharu semalam selepas Sultan Kedah, Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memperkenan pelantikannya.

Pelantikan itu dibuat mengikut peruntukan di bawah Perkara 35 dan 37(2)(a) Undang-undang Tubuh Kerajaan Kedah selepas Muhammad Sanusi mendapat sokongan majoriti ADUN.

Sebelum itu, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir melepaskan jawatan itu berkuat kuasa serta-merta setelah kehilangan kepercayaan majoriti ADUN negeri ini. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas