Berita

Agong jelaskan pelantikan Muhyiddin sebagai PM dibuat dengan telus, adil

SULTAN ABDULLAH bertitah pada pembukaan Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.
- Diterbit 18 Mei 2020 6:12 AM MYT

KUALA LUMPUR – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, baginda sudah menggalas amanah dengan telus dan seadil-adilnya dalam urusan pelantikan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan.

Baginda bertitah, selepas Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri, baginda bertanggungjawab melantik seorang Perdana Menteri yang baharu seperti mana yang dikehendaki Perlembagaan Persekutuan.

“Perkara 43 memberi kuasa budi bicara kepada Beta untuk melantik seorang Ahli Dewan Rakyat yang pada hemat Beta mendapat kepercayaan majoriti Ahli-ahli Dewan Rakyat.

“Pada 25 dan 26 Februari 2020, Beta telah mengadakan sesi pertemuan secara berseorangan dengan Ahli-ahli Dewan Rakyat untuk menilai sendiri sokongan kepercayaan mereka.

“Pada 29 Februari 2020, Beta telah menitahkan semua parti politik yang mempunyai wakil dalam Dewan Rakyat untuk mencalonkan nama seorang Ahli Dewan Rakyat sebagai bakal Perdana Penteri,” titah baginda ketika merasmikan pembukaan mesyuarat Penggal Ketiga Parlimen ke-14 di Dewan Rakyat hari ini.

Sultan Abdullah bertitah,  setelah melalui semua proses tersebut dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, baginda telah mendapati Muhyiddin telah mendapat kepercayaan majoriti Ahli-Dewan Rakyat sekali gus selayaknya dilantik sebagai Perdana Menteri.

Dr. Mahathir meletakkan jawatan pada 24 Febuari lalu sekali gus menyebabkan  Kabinet terbubar dan mencetuskan krisis politik berhubung pelantikan Perdana Menteri.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas