Berita

MSWP rancang tubuh pusat kuarantin latihan

- Diterbit 16 Oktober 2020 9:15 AM MYT

EKORAN Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya bermula 14 hingga 27 Oktober ini, Majlis Sukan Wilayah Persekutuan (MSWP) memutuskan untuk menangguhkan sebarang aktiviti sukan di bawah seliaannya.

Namun, bagi memastikan atlet Wilayah Persekutuan kekal aktif sebagai persediaan menghadapi Sukan Malaysia (SUKMA) Johor 2020 yang dijadualkan berlangsung tahun depan, MSWP berhasrat mewujudkan pusat kuarantin latihan atau Quarantine Based Training (QBT).

Menurut Pengarahnya, Dr Hasnul Faizal Hushin Amri, pada masa ini, MSWP sedang mencari lokasi bersesuaian untuk dijadikan QBT bagi menempatkan kira-kira 800 orang atlet.

“Pusat tersebut akan menjadi lokasi latihan untuk mereka yang terlibat dalam kejohanan SUKMA dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) bagi memastikan tiada penularan virus COVID-19.

“Diharapkan kami dapat mencari lokasi yang bersesuaian agar para atlet dapat bersiap sedia menghadapi kejohanan yang bakal berlangsung pada 2 hingga 10 April tahun hadapan,” ujarnya kepada Wilayahku.

Ketika ditanya berkenaan lokasi yang bersesuaian untuk pusat tersebut, Hasnul menjelaskan kemungkinan besar di sekitar Kuala Lumpur memandangkan bandaraya tersebut merupakan kawasan strategik.

Pada masa sama, sepanjang tempoh pelaksanaan PKPB selama dua minggu ini, MSWP akan sentiasa memantau perkembangan atlet bagi memastikan mereka sentiasa bersedia untuk menghadapi temasya kebangsaan tersebut.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas