Berita

MOTAC perkenal Art Hospital, pulih karya penggiat seni

- Diterbit 26 Februari 2021 5:57 AM MYT

KEMENTERIAN Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) memperkenalkan Art Hospital bagi membantu penggiat seni yang terjejas akibat bencana banjir di Pahang baru-baru ini.

MOTAC dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif melalui Balai Seni Negara itu juga bertujuan membantu penggiat seni dalam proses konservasi dan rawatan yang khusus dari aspek pemuliharaan karya.

Menurut kenyataan itu, menterinya Datuk Seri Nancy Shukri berkata banjir yang melanda Pahang turut menjejaskan hampir 30 karya seorang pelukis, Mohaida Aini Mohd yang diselaputi lumpur.

Mohaida Aini turut berkongsi kesedihan apabila rumah peninggalan keluarga yang dijadikan studio serta ruang simpanan karya koleksinya ditenggelami banjir dan beliau tidak berjaya menyelamatkan karyanya.

“Justeru usaha ini bagi memastikan penggiat seni terjejas dapat kekal berkarya dalam tempoh pemulihan akibat banjir yang melanda,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Pengarah Seksyen Koleksi dan Konservasi Musrizal Mat Isa berkata aktiviti konservasi pemulihan bagi karya yang terkesan dijalankan selama lima hari bermula 15 hingga 19 Feb lepas.

“Kerja-kerja dilakukan di studio pelukis sehingga selesai dan dipindahkan ke studio rakan pelukis yang terletak berhampiran lokasi asal. Kerja-kerja melibatkan rawatan cucian secara mekanikal dan cucian basah pada lumpur,” jelas MOTAC.

Menurut MOTAC, kaedah penyimpanan karya akan diberikan perhatian khususnya selepas karya-karya tersebut dibawa ke tempat penyimpanan baharu.

Aktiviti pemulihan karya selepas sesuatu bencana merupakan tindakan awal dan akan menjadi satu permulaan untuk aktiviti sokongan sosial bagi pelukis-pelukis lain dalam usaha memperkenalkan Art Hospital kepada penggiat seni di Malaysia.

“Ia juga diharap dapat menjadi salah satu platform oleh MOTAC dalam membantu penggiat seni untuk terus berkarya,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas