Berita

KPT tubuh jawatankuasa khas tangani masalah sosial mahasiswa

- Diterbit 26 Februari 2021 6:00 AM MYT

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) membentuk Jawatankuasa Tindakan Khas Menangani Masalah Sosial Mahasiswa bagi meneliti dan menangani masalah sosial dalam kalangan mahasiswa.

KPT dalam kenyataan hari ini memaklumkan jawatankuasa khas itu dipengerusikan Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Mansor Othman dengan keanggotaan merentasi beberapa kementerian dan badan bukan kerajaan (NGO)  termasuk wakil pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Wakil kementerian dilantik bagi menganggotai jawatankuasa itu terdiri daripada Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Siti Zailah Mohd Yusoff, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Zahidi Zainul Abidin dan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Ahmad Marzuk Shaary.

Wakil pelajar pula adalah Presiden Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Amir Asyraf Mohd Sabri, Yang Dipertua Universiti Kuala Lumpur Ali Hanifah Amran dan Naib Presiden III Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan Muhammad Nazmi Hakimi Mohd Eirman.

Menurut kenyataan tersebut, KPT berharap agar pewujudan jawatankuasa dan jalinan kerjasama antara agensi itu dapat meningkatkan perkembangan sahsiah serta menangani permasalahan sosial mahasiswa secara holistik. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas