Berita

MOSTI sasar 15 siri STEM Camp seluruh negara tahun ini

- Diterbit 26 Februari 2024 5:35 PM MYT

KEMENTERIAN Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menyasarkan untuk menganjurkan sekurang-kurangnya 15 siri STEM Camp di sekolah terpilih di seluruh negara sepanjang tahun ini.

Menterinya Chang Lih Kang berkata ia berikutan cabaran yang dihadapi khususnya di peringkat sekolah untuk menarik minat pelajar terhadap pembelajaran STEM (Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik).

“STEM Camp merupakan satu inisiatif di bawah program SciTech4U melalui aktiviti pembelajaran secara tidak formal di luar bilik darjah.

“Program ini juga bertujuan memupuk minat pelajar terhadap ilmu sains, seterusnya meningkatkan pengetahuan, menambah baik kemahiran serta memahami aspek aplikasi dalam bidang sains, teknologi dan inovasi (STI),” katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas melawat program rintis STEM Camp di Sekolah Jenis Kebangsaan (Cina) Chen Moh di sini hari ini, yang turut dihadiri Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chung.

Sebanyak 98 murid tahun empat, lima dan enam sekolah berkenaan telah hadir menyertai program STEM Camp terbabit yang antara lain, terdiri daripada segmen membina roket buatan sendiri.

Sementara itu, seorang pelajar Lai You Ning, 10, menyifatkan STEM Camp sebagai satu pendedahan terhadap proses pembelajaran Sains kerana dia jarang berpeluang mempelajarinya secara langsung.

“Bercakap mengenai STEM, lazimnya ia diajar di dalam kelas dan digambarkan melalui buku teks. Saya menganggap program hari ini sebagai peluang seumur hidup kerana ia telah menarik minat saya lagi untuk mendalami subjek ini,” katanya dan menambah dia sukakan aspek STEM yang mencabar.

Lim Jing Jie, 11, pula berkata program itu memberikan motivasi kepada dirinya untuk mendalami semua perkara yang berkaitan dengan Sains dan Matematik.

“Saya mempunyai kecenderungan terhadap mata pelajaran STEM tetapi tidak pernah terfikir bahawa ia boleh menjadi pengalaman yang begitu menarik. Saya harap dapat menyertai lebih banyak program sebegini pada masa hadapan,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas