Atlet Wilayah

Mohamad Aniq buru ranking ke Olimpik

- Diterbit 29 Januari 2024 11:32 AM MYT

ATLET angkat berat negara, Mohamad Aniq Kasdan mahu terus menyinar tahun ini dengan meletakkan misi pertamanya untuk memburu sekurang-kurangnya kedudukan keempat di ranking kelayakan Olimpik sebelum ke Sukan Olimpik Paris 2024.

Menurut badang negara berusia 22 tahun itu, untuk merealisasikan misinya, dia perlu membuat angkatan keseluruhan sebanyak 305 kilogram (kg) dalam Piala Dunia 2024 di Phuket, Thailand pada April depan.

“Jurulatih memang sasar untuk kejar angkatan 305kg, kalau buat angkatan dalam 300kg saya akan menghuni ranking keempat dunia dan itu sasaran sebelum ke Olimpik tahun ini. Sekarang saya berada di ranking ketujuh dunia selepas kejohanan di Qatar tahun lalu,” ujarnya berharap tiada yang mampu memintas kedudukannya ketika ini.

Awal Disember lepas, atlet kelahiran Johor itu melakar kejayaan sensasi dengan meraih dua pingat di Kejohanan Angkat Berat Antarabangsa di Doha, Qatar.

Mohamad Aniq cemerlang dengan melakukan angkatan 170kg bagi clean and jerk kategori 61kg untuk merangkul perak dan membuat angkatan 126kg dalam snatch sekali gus merekodkan angkatan keseluruhan 296kg.

Lebih manis, kejayaan Mohamad Aniq itu menyaksikan dia memperbaharui rekod kebangsaan 291kg miliknya sendiri semasa memenangi pingat gangsa dalam Kejohanan Angkat Berat Dunia 2023 di Riyadh, Arab Saudi pada September 2023.

Pencapaian itu meletakkan Mohamad Aniq di kedudukan ketujuh ranking kelayakan Olimpik dan penyertaan pada Sukan Olimpik dihadkan kepada atlet di kedudukan 10 terbaik ranking kelayakan Olimpik sahaja.

“Namun, ia belum menjamin slot untuk ke temasya berprestij itu memandangkan ranking kelayakan akan sering berubah dari semasa ke semasa. Jurulatih saya, Edmund Yeo akan memberi tumpuan untuk memberi tekanan bagi acara snatch dalam persediaan ke Piala Dunia.

“Saya sedang giat melakukan latihan berintensiti tinggi selain tekankan untuk acara snatch kerana merasakan banyak kelemahan pada acara tersebut sewaktu di Qatar. Kami akan teruskan latihan di tanah air, sebelum ke Shanghai, China untuk sertai kem latihan pada Mac. Saya rasa di Shanghai saya akan lebih fokus untuk membantu diri,” ujarnya Piala Dunia 2024 yang berlangsung di Phuket, Thailand itu akan bermula pada 2 hingga 11 April.

Mengulas lanjut mengenai perkembangannya yang kini berada dalam Program Road To Gold (RTG), pemenang pingat emas Sukan Komanwel 2022 itu berkata kemudahan yang disediakan program tersebut banyak membantunya untuk meningkatkan prestasi pada masa akan datang.

“Dengan kemudahan yang saya terima, sedikit sebanyak menjadi pembakar semangat untuk terus mempamer prestasi cemerlang agar terus kekal berada dalam program ini,” ujarnya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas