Berita

MoF adakan sesi libat urus caruman bukan warga negara ke dalam KWSP

- Diterbit 5 Disember 2024 2:44 PM MYT

KEMENTERIAN Kewangan sedang mengadakan sesi libat urus dengan pelbagai pemegang taruh sebelum menguatkuasakan dasar mandatori caruman pekerja bukan warga negara ke dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Menurut MoF, cadangan tersebut adalah sejajar dengan usaha KWSP dalam memastikan semua pekerja di Malaysia, tanpa mengira kewarganegaraan untuk turut mempunyai simpanan persaraan bagi menangani risiko ketidakcukupan simpanan persaraan pada usia tua serta akses kepada perlindungan sosial.

“Sesi libat urus dilaksanakan demi memastikan dasar yang dibuat adalah holistik dengan mengambil kira semua pandangan dan input daripada pihak yang terlibat.

“Kerajaan turut melaksanakan kajian terperinci bagi mengkaji mekanisme pelaksanaan terbaik sedang dilaksanakan,” kata MoF dalam wapan di Dewan Negara semalam.

Menurut MoF, inisiatif ini juga bertujuan untuk meningkatkan keadilan dalam pasaran buruh dengan memastikan perlindungan sosial untuk semua pekerja adalah selaras dengan piawaian antarabangsa selaras dengan ketetapan Artikel 68, Konvensyen 102 International Labour Organisation (ILO) iaitu hak sama rata perlindungan sosial kepada individu bukan warganegara.

“Selain itu, langkah ini juga dilihat dapat meningkatkan daya saing perniagaan tempatan di peringkat global melalui dorongan peralihan perniagaan ke arah automasi sekaligus dapat mengurangkan
kebergantungan kepada tenaga bukan warganegara.

“Pada masa yang sama, pelaksanaan ini adalah tertakluk kepada pindaan Akta KWSP 1991,” katanya. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas