Berita

MN gesa kerajaan rayu isu kalimah Allah

KUALA LUMPUR 14 SEPTEMBER 2019. Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertukar dokumen Piagam Muafakat Nasional dengan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sambil disaksikan Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas menandatangani memorandum persefahaman Piagam Muafakat Nasional pada Himpunan Penyatuan Ummah di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur. NSTP/AIZUDDIN SAAD
- Diterbit 11 Mac 2021 5:39 AM MYT

MESYUARAT Jawatankuasa Perunding Muafakat Nasional (MN) yang berlangsung malam tadi, menggesa kerajaan membawa keputusan penghakiman berhubung isu penggunaan kalimah Islam ke Mahkamah Rayuan.

Menerusi kenyataan dikeluarkan MN, gabungan itu menyatakan keprihatinan amat serius terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan penggunaan kalimah-kalimah Islam oleh orang bukan Islam dalam penerbitan masing-masing.

“Mesyuarat juga menggesa kerajaan Persekutuan untuk mengambil inisiatif menyegerakan pelaksanaan pengharmonian sistem perundangan negara dalam kerangka Perlembagaan Persekutuan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu turut memaklumkan mesyuarat juga bersetuju untuk terus mengukuhkan MN.

Kenyataan media itu diedarkan Setiausaha Agung Umno merangkap Setiausaha Agung MN Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi aplikasi Whatsapp dan laman Twitternya.

Mahkamah Tinggi di sini semalam, memutuskan bahawa penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.

Tiga perkataan itu ialah Baitullah, Kaabah dan solat.

Ini susulan keputusan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Nor Bee Ariffin, yang bersidang sebagai Hakim Mahkamah Tinggi, membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh wanita suku kaum Melanau dari Sarawak yang beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill.

Terdahulu, mesyuarat MN berkenaan antara Umno dan PAS berlangsung kira-kira tiga jam di Menara Dato’ Onn, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini, antara lain membincangkan agenda pemerkasaan gabungan itu.

Mesyuarat dipengerusikan bersama Timbalan Presiden Datuk Seri Mohamad Hasan dan rakan sejawatnya dari PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan disertai 12 ahli pimpinan tertinggi masing-masing dari kedua-dua parti. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas