Berita

MIRA FILZAH Bantu Pelajar Untuk Cemerlang

Siti Farhana
- Diterbit 12 September 2020 6:20 AM MYT

BUKAN sahaja cantik dan popular, malah pelakon Mira Filzah juga adalah antara wanita yang pintar atau boleh disebut sebagai ‘beauty with brain’.

Di usianya kini 27 tahun dan baru saja melangsungkan perkahwinan dengan arjuna hati, Wan Emir Astar, Mira boleh dilihat sebagai golongan seni yang memiliki segala galanya.

Pemilik nama penuh  Nur Amirah Filzah  Badioezaman ini pernah menjadi pelajar cemerlang menerusi peperiksaan SPM pada tahun 2010. 

Jadi dengan apa yang diraih selebriti bertudung itu, tidak hairan dia dilantik menjadi duta dan ikon pusat tusyen PTTI selaku pusat peningkatan akademi yang memberi fokus membantu pelajar SIjil Pelajaran Malaysia (SPM) mendapat keputusan cemerlang sejak awal tahun ini 

“Kolaborasi PTTI dan Mira ini secara jelas mendokong aspirasi yang mahu membantu lebih ramai pelajar berjaya mendapatkan keputusan terbaik untuk SPM.

“Kejayaan cemerlangnya dalam akademik dan posisinya sebagai ikon juga jelas memberi signifikan bahawa dengan usaha gigih dan ‘smart’ menelaah pelajaran, kejayaan itu pasti mengekori di hadapan kelak.

“Mira selama ini juga terus berperanan menyuntik semangat untuk pelajar lebih fokus dengan hal akademik,” kata Cikgu Fana yang juga Ketua Pegawai Eksekutif PTTI Group Sdn Bhd.

MIRA Filzah bersama Ketua Pegawai Eksekutif PTTI Group Sdn Bhd., Siti Farhana

Kata Cikgu Fana lagi atau nama sebenarnya  Siti Farhana Abu Osman, pihaknya dan Mira sendiri percaya sesuatu perkara bermanfaat itu wajar dikongsi untuk semua terutama bakal calon SPM.

Cikgu Fana juga berpandangan Mira dilihat perlambangan tepat yang mampu memberi inspirasi kepada semua golongan termasuk pelajar.

“Perkahwinannya baru baru ini juga tular. Ada saja cerita perkahwinannya yang dikongsi di media sosial. 

“Pendek kata, Mira mempunyai aura dan impak besar. Lalu dengan kejayaan diraihnya sewaktu belajar dan menduduki SPM hingga kini menempa nama sebagai anak seni, kita turut mahu lebih ramai lagi pelajar SPM berjaya sepertinya. 

“Dengan apa yang dilalui dan dicapainya kini, Mira secara tidak langsung dianggap sebagai ikon yang memberi inspirasi dan simbolik semangat kepada ramai orang,” kata Cikgu Fana lagi.

PTTI yang ditubuhkan sekitar tahun 2016 sudah berjaya melahirkan lebih 100,000 orang pelajar lulusan SPM dengan keputusan cemerlang hingga tahun lalu. – WILAYAHKU

 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas