Berita

Minggu usahawan iktiraf, bantu ke pasaran antarabangsa

USAHAWAN memasarkan produk jualan kepada pengunjung pada MUN dan Minggu PMKS 2023.
- Diterbit 14 Julai 2023 4:00 AM MYT

PROGRAM Minggu Usahawan Negara (MUN) dan Minggu Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) meng­iktiraf peranan dan ­sumbangan PMKS ­kepada ­pembangunan ekonomi negara.

RIZAL

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata penganjuran program seumpama ini mampu menjadi platform yang ­sesuai bagi mempromosikan produk dan ­perkhidmatan usahawan tempatan ­untuk terlibat dengan ­aktiviti ­padanan perniagaan bagi ­membolehkannya bersaing di pasaran baharu dan antarabangsa.

“Selaras dengan hasrat ­kerajaan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 untuk membudayakan ­keusahawanan dalam kalangan ­masyarakat, program ini diadakan ­juga bagi mencapai ­matlamat yang ditetapkan SME Corp dan Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) ­iaitu memastikan ­usahawan menjual dan mendapat ­pulangan tunai hasil daripada jualan.

“Sempena MUN dan Minggu PMKS 2023, kami juga turut ­menyediakan ­platform untuk memadankan barangan dan perkhidmatan PMKS kepada pembeli di syarikat-syarikat besar seperti pasar raya dan government linked­ companies (GLC) untuk ­membeli­ barangan sekali gus menjadikan mereka sebagai pembekal.

“Melalui program yang ­dinamakan Padanan Perniagaan atau Bisnes Matching ini, kita buka peluang kepada mereka memperluaskan ­jaringan ­perniagaan dengan sasaran jualan ­potensi sebanyak RM20 juta di Dataran Merdeka manakala RM70 juta bagi sasaran MUN 2023 di seluruh ­negara,” katanya kepada Wilayahku pada ­program tersebut di Dataran Merdeka baru-baru ini.

Sambutan MUN dan Minggu PMKS peringkat kebangsaan pada ­tahun ini berlangsung meriah ­dengan 200 ­reruai di karnival jualan dan ­gerai pameran termasuk reruai ­selebriti serta aktiviti menarik.

MUN dan Minggu PMKS 2023 Peringkat Kebangsaan di Dataran Merdeka telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan ia merupakan lokasi yang kelima selepas penganjurannya di Pulau Pinang (zon Utara), Sarawak, Melaka (zon Selatan) dan Pahang (zon Pantai Timur) ­sepanjang bulan lalu.

Terdahulu, pelaksanaan program tersebut di bawah inisiatif SME Corp Sdn Bhd dengan kerjasama KUSKOP, Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), badan korporat, institusi ­kewangan, universiti serta persatuan universiti. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas