Berita

Afdlin Shauki galas tugas ALP DBKL

AFDLIN (kiri) menerima watikah pelantikan sebagai ALP Bandaraya Kuala Lumpur daripada Kamarulzaman baru-baru ini.
- Diterbit 14 Julai 2023 2:00 AM MYT

PELAKON dan Pengarah, Datuk Afdlin Shauki ­menetapkan iltizam ­memanfaatkan pengalaman lebih 30 tahun bergelar anak seni dalam menjadikan Kuala Lumpur sebagai Pusat Seni Negara.

Beliau yang baharu ­sahaja ­dilantik sebagai Ahli Lembaga Penasihat (ALP) Bandaraya Kuala Lumpur berkuat kuasa 15 Mei 2023 meng­galas tanggungjawab merencana ­serta menambah baik industri seni dan budaya warisan untuk ­merealisasikan hasrat menjadikan Kuala Lumpur sebagai pusat berkenaan.

“Pelantikan ini secara tidak langsung memberi ruang kepada anak seni mendapatkan nasihat dan pandangan yang betul dalam ­bidang hiburan khususnya di Kuala Lumpur di samping membantu meningkatkan tarikan pelancongan negara melalui penglibatan penggiat seni dalam dunia seni warisan budaya.

“Sejujurnya, pelantikan ini adalah pengiktirafan berharga ­daripada ­kerajaan dan pihak ­berkuasa tempatan (PBT) kepada seorang anak seni untuk turut serta ­dalam meng­uruskan tatakelola dan pembangunan negara.

“Saya berharap dengan ­pengalaman ini ia dapat membantu memberi maklumat terperinci mengenai industri seni selain memudahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memahami ­selok-belok dunia seni tanah air,” kata beliau ketika dihubungi Wilayahku pada Selasa.

Menurut Afdlin yang ­juga Pengerusi YWP Media (Wilayahku), pelantikan ini juga dapat membantunya sebagai ­wakil industri untuk berbincang ­dengan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Kamarulzaman Mat Salleh ­mengenai langkah menaik taraf industri seni khususnya di ibu kota.

“Kuala Lumpur merupakan ­pusat yang menumpukan pelbagai ­aktiviti dan kebanyakannya ­adalah tempat anak-anak seni mencari rezeki. Justeru itu, saya melihat ini adalah peluang terbaik untuk melaksanakan projek-projek serta meningkatkan industri seni tanah air khususnya dalam kalangan warga kota sendiri termasuk pelancong.

“Anak-anak seni juga bukan sekadar bertapak di bidang hiburan semata-mata malah menjadi antara golongan pemikir yang ­mempunyai keupayaan serta pandangan ­terhadap pentadbiran negara dan boleh membantu menaikkan pembangunan negara,” ujar beliau.

Tambah beliau, pelantikan ini juga memberi ruang kepada­nya menghebahkan dan berkongsi ­secara terus berkaitan ­berita-berita ­terkini termasuk maklumat dan ­aktiviti DBKL kepada masyarakat.

Terdahulu, beliau merupakan ­satu-satunya anak seni dan antara 11 ahli baharu yang dilantik ­sebagai ALP Bandaraya Kuala Lumpur ­untuk tempoh dua tahun.

Antara yang dilantik Dr Abdul Basir V.Kunhimohamed yang ­juga merupakan Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Wilayah Persekutuan; Datuk Seri Dr Mohd Shafei Abdullah, Datuk Seri Izudin Ishak, Datuk Tong Nguen Khoong, Datuk LAr. Ismail Ngah, Datin Rashidah Mohd Sies, Lai Chen Heng, Jayakumar A/L R Muniandy, Tuan Ir. Hayatul Kamil Termudi dan Leong Ooi Kuan.

Pelantikan Ahli Lembaga Penasihat ini adalah selaras ­dengan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960 Perkara 6 (1) yang ditubuhkan ­bertujuan menasihati Datuk Bandar tentang apa-apa perkara berkaitan pentadbiran bandar raya selaras dengan Akta Ibu Kota Persekutuan 1960. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas