Berita

Mesyuarat Agung ke-22: PVWP libatkan penyertaan anak muda

AHLI PVWP sejurus Mesyuarat Agong Tahunan PVWP yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
- Diterbit 6 Januari 2023 4:31 AM MYT

BIARPUN giat menjalankan aktiviti konvoi ke seluruh negara, namun Persatuan Vespa Wilayah Persekutuan (PVWP) sentiasa menitikberatkan sifat tanggungjawab dan mematuhi segala peraturan jalan raya yang telah ditetapkan.

Menurut Pengerusinya, Yaacob Abdul Hamid, mereka telah mendapat amanat daripada Pengarah Jabatan Pengangkutan
Jalan Kuala Lumpur (JPJKL) merangkap Penasihat PVWP, Mohd Zaki Ismail agar mematuhi undang-undang, membuat pemeriksaan sebelum bergerak serta menggunakan peralatan keselamatan.

“Meskipun banyak aktiviti yang telah dirancang namun pematuhan terhadap undang-undang jalan raya terutama berkaitan lesen kenderaan bermotor, cukai jalan dan teknikal fizikal kenderaan menjadi keutamaan dalam persatuan.

“Bagi mengelakkan sebarang kemalangan berlaku dalam kalangan ahli, persatuan sering memberi bimbingan, nasihat serta kursus kepada ahli-ahli mengenai keselamatan jalan raya dan kaedah pemanduan yang betul dan selamat,” ujarnya.

Tambahnya, Mesyuarat Agong Tahunan PVWP yang berlangsung 30 Disember 2022 lalu menyaksikan seramai 15 ahli jawatankuasa dilantik yang melibatkan penyertaan dalam kalangan anak muda.

“Mereka adalah generasi ketiga peminat motor Vespa. Saya berharap penglibatan mereka dapat membawa imej yang baik dalam persatuan dan membantu menggerakkan serta menjayakan lagi aktiviti-aktiviti yang dianjurkan.

“Beberapa pindaan perlembagaan telah dibincangkan serta kami turut merangka beberapa program tahunan antaranya Majlis Ramah Mesra Keluarga Vespa yang dijangka akan dilaksanakan awal tahun ini.

“Tiga siri lawatan juga akan diadakan yang mana kami akan berkonvoi melawat ahli persatuan yang sedang terlantar sakit di sekitar Seremban, Sungai Buloh dan Bukit Beruntung,” kongsinya.

Terdahulu, Persatuan Vespa Wilayah Persekutuan ditubuhkan pada 12 Ogos 1992 terdiri daripada 90 ahli seawal usia 22 tahun
sehingga 72 tahun. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas