Artikel

Merakyatkan Pusat Ekonomi Digital (PEDi) , demi kemaslahatan komuniti setempat

- Diterbit 24 November 2023 2:35 AM MYT

Tindakan kerajaan untuk meningkatkan tahap sosioekonomi komuniti setempat dengan memberi pendedahan kepada semua penduduk berkaitan kemahiran digital tanpa mengira kedudukan sosial mahupun geografi mereka, adalah satu langkah yang tepat dan keterhadapan.

Usaha yang dilaksanakan melalui Pusat Ekonomi Digital (PEDi) bukan sahaja berupaya untuk membantu komuniti setempat menyertai dan mengambil peluang untuk bergiat dalam ekonomi digital bahkan juga membuka peluang kepada mereka meningkatkan sumber pendapatannya. Selain itu, keadaan tersebut turut menyumbang kepada peningkatan daya saing dan seterusnya memberi impak positif kepada pertumbuhan ekonomi negara.

PEDi merupakan inisiatif kerajaan yang diterajui oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Program Pemberian Perkhidmatan Sejagat (PPS) bagi menyediakan kemudahan capaian Internet di kawasan yang kurang mendapat liputan serta menyemai kemahiran dan minat terhadap teknologi maklumat dalam kalangan komuniti setempat di kawasan luar bandar yang kurang liputan dan kurang berkemampuan.

Setakat ini di seluruh Malaysia, sebanyak 911 PEDi telah beroperasi sepenuhnya manakala 186 PEDi baharu sedang dalam perancangan untuk dibangunkan. Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) menerusi MCMC telah menyasarkan penyediaan sebuah PEDi di setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Setiap PEDi dilengkapi dengan capaian Internet, program latihan ICT serta keusahawanan bagi membantu meningkatkan sosioekonomi komuniti setempat menerusi pembangunan modal insan dan keusahawanan khususnya bagi peniaga mikro dan kecil agar menyertai ekonomi digital menerusi platform digital yang sedia ada.

Sejak diasaskan pada 2007, PEDi telah mengharungi pelbagai evolusi, bermula dengan Pusat Jalur Lebar Komuniti (PJK) dan kemudiannya kepada Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) sehinggalah kepada Pusat Internet Komuniti (PIK) dan kini pusat Ekonomi Digital (PEDi), semuanya memainkan peranan yang signifikan dalam kehidupan masyarakat setempat.

Sinonim PEDi dengan peningkatan taraf hidup penduduk setempat cukup terserlah apabila seramai 1.3 juta penduduk dengan mereka yang berumur antara 22 hingga 59 tahun paling ramai menggunakan perkhidmatan PEDi.

Meliputi kesemua kategori latihan

Manakala, penyertaan latihan oleh komuniti setempat telah mencecah 3.3 juta meliputi kesemua kategori latihan yang ditawarkan seperti Keusahawanan Digital, Latihan ICT dan Literasi Digital, Advokasi dan Penglibatan Komuniti, e-Pembelajaran serta STEM/Internet of Things (IoT).

Kini, selepas 16 tahun beroperasi, hala tuju baharu PEDi bakal diumumkan pada Persidangan PEDi MADANI 2023 yang akan berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada 29 November 2023 ini.

Bertemakan Pemangkin Ekonomi Digital Negara, Persidangan PEDi MADANI 2023 itu nanti akan meraikan pengurus-pengurus PEDi dari seluruh negara dan memberi pengiktirafan kepada para usahawan yang telah menempa kejayaan dengan memperoleh latihan di kemudahan PEDi. Persidangan itu akan dirasmikan oleh Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Anwar bin Ibrahim.

Pembaharuan tersebut adalah seiring dengan pengumuman Perdana Menteri semasa Belanjawan 2024 baru-baru ini yang memperuntukkan RM25 juta bagi memperkasa peranan PEDi di setiap DUN untuk menyokong pengusaha kecil memasarkan dan menjual produk secara dalam talian.

Jika sebelum ini PEDi berperanan sebagai pusat ekonomi digital kini menerusi pembaharuan yang dilakukan nanti, ia akan memainkan peranan sebagai pemangkin ekonomi digital. Dalam erti kata lain, PEDi tidak hanya beroperasi sebagai Pusat Internet bagi komuniti tetapi potensi besarnya turut digunakan oleh usahawan setempat untuk menjana pendapatan lumayan dengan beberapa produk baik dan pemasaran utuh, tanpa perlu ke bandar.

Untuk itu, kerajaan akan terus memperkasakan perkhidmatan yang ditawarkan di 911 PEDi di seluruh negara.

Langkah berkenaan penting agar PEDi berkenaan dapat berfungsi sebagai pemangkin kepada pembangunan digital ekonomi khususnya di kawasan luar bandar. Usaha ini juga akan disokong dengan penyediaan peralatan dan perisian ICT berserta kemudahan aplikasi yang disesuaikan bagi komuniti setempat. Untuk itu, sebanyak RM25 juta menerusi pembiayaan Dana Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia dijangka akan dibelanjakan untuk penyediaan kemudahan ini.

Selain itu, pelantikan Pengerusi Panel Penasihat PEDi yang dilaksanakan juga memberi impak kepada peranan dan hala tuju PEDi untuk merancakkan ekonomi digital setempat melalui penglibatan komuniti di sekitar PEDi. Pengerusi yang dilantik daripada kalangan pemimpin setempat yang berpengalaman diharap dapat merancakkan lagi aktiviti dan gerak kerja PEDi sebagai sebuah pusat tumpuan untuk aktiviti berkaitan ICT dan juga ekonomi setempat.

Turut ditawarkan di PEDi ialah Program Pemerkasaan Pendigitalan Usahawan Kecil (PUPUK) yang melibatkan kerjasama pelbagai agensi kerajaan seperti MDEC, MYNIC, SSM, TEKUN serta FAMA dan syarikat swasta seperti Shopee, AEON, Maxis, GRAB yang menjalankan pelbagai program latihan bagi pembangunan ekonomi digital masyarakat setempat.

Pihak MCMC juga sedang dalam perbincangan dengan agensi kerajaan dan swasta yang lain bagi menyediakan lebih banyak program latihan dan bimbingan keusahawanan digital bagi memperkasakan lagi PEDi agar komuniti setempat mendapat manfaat optimum.

Impak positif

Hakikatnya, kemunculan teknologi digital secara tidak langsung memberi impak positif kepada kehidupan golongan usahawan setempat. Jika dahulunya, mereka terpaksa melakukan urusan seharian secara konvensional, kini urusan sedemikian boleh dilakukan di hujung jari mereka menerusi Internet. Cara ini bukan sahaja menjimatkan masa bahkan dapat meningkatkan tahap produktiviti mereka. Apa yang menarik di sini ialah mereka yang berkecimpung dalam bidang keusahawanan terdiri daripada pelbagai lapisan umur (20-an sehingga lewat 50-an).

Ternyata, melalui PEDi, ramai usahawan telah menikmati suatu kehidupan yang lebih baik berbanding sebelumnya. Kisah Fatin Noor Amera Mohd Fadzil, 26, dari Kampung Sungai Masin, Selangor yang merupakan usahawan makanan dan juga penjual semula barangan seperti stokin tangan serta barangan keperluan lain adalah contoh terbaik. Hasil latihan dan bimbingan yang diterima di PEDi dan platform Shopee, kini membolehkan beliau memperoleh hasil pendapatan yang jauh lebih tinggi berbanding dengan pendapatannya sebelum ini.

Bagi Sandra Trinata Anak Kolensius Sugeng, 35, dari Bau, Sarawak yang mengusahakan perniagaan produk kraf berasaskan rotan lebih 10 tahun lamanya, impak PEDi kepada kejayaan beliau amat signifikan. Sandra mula mengikuti latihan di PEDi tentang cara-cara mempromosikan produk kraf secara dalam talian melalui laman Facebook (FB). Berkat bimbingan yang diterima akhirnya menyaksikan hasil pendapatan beliau meningkat berlipat ganda selain menerima Anugerah Kecemerlangan Kerajaan Sarawak atas penghasilan ’The Glow Tree of Life.’ Kejayaan beliau turut mendapat perhatian Laman FB MenarikDiBau apabila dijemput sebagai tetamu jemputan bagi berkongsi mengenai perniagaan beliau.

Bagi Mohd Rashid Bakar, 57, dari Kota Kuala Muda, Kedah yang mengikuti kursus keusahawanan di PEDi Kota Kuala Muda telah mempelajari penggunaan media sosial. Hasil kegigihannya, beliau memiliki sebuah kedai yang dinamakan Bengkel Bahulu Kampung Sungai Deraka manakala hasil pendapatan bulanannya turut naik berlipat ganda.

Beberapa kisah kejayaan usahawan yang diketengahkan tadi jelas membuktikan komitmen kerajaan bagi memastikan taraf hidup rakyat Malaysia dipertingkat.

Pada masa yang sama, ia juga cerminan keseriusan kerajaan untuk memupuk gaya hidup digital dalam kalangan masyarakat seiring dengan aspirasi kerajaan dalam mengukuhkan kedudukan ekonomi digital negara.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas