Selebriti

Menang Best Of Asian-Pop, Shiha Zikir raih kejayaan antarabangsa

|LAGU AEWO nyanyian Shiha Zikir dan Noki mendapat pengiktirafan antarabangsa.
- Diterbit 18 Julai 2021 5:10 AM MYT

PENYANYI Shiha Zikir, 33, mengaku tidak menyangka apabila diumumkan sebagai pemenang kategori Best Of Asian- Pop di acara InterContinental Music Awards (ICMA) 2021 di Los Angeles Amerika Syarikat.

Lagu AEWO yang memenangi kategori bertaraf antarabangsa dan merupakan ciptaan Ezra Kong ini turut menampilkan Noki dari kumpulan K-Clique yang dilancarkan tahun lalu.

“Saya sejujurnya macam tak percaya dengan berita kemenangan itu. Tapi selepas dimaklum dan ditenangkan syarikat pengurusan Todak Musics, terus jadi macam… ok ini bukan mimpi.

“Ikutkan lagu ini saya dimaklumkan pencalonannya sekitar seminggu lalu. Alih alih dapat tahu menang kategori berkenaan.

“Saya anggap ia satu kejayaan yang bermakna dan menyuntik semangat. Mungkin ada pandangan skeptikal terhadap anugerah sebegini. Itu biasa,” katanya.

Tegas Shiha acara berkenaan sepatutnya berlangsung secara fizikal di sana, namun dek pandemik ia hanya diumumkan secara dalam talian sahaja.

“Kecil atau besar mana pun pencapaian atau anugerah itu, ia tetap bermakna bagi saya. Semestinya anugerah ini akan saya simpan memorinya menjadi kenangan terindah sampai bila bila.

“Apa yang saya tahu anugerah ini dinilai juri profesional dalam bidang hiburan. Jadi ia bukan anugerah tangkap muat atau sekadar pelengkap.

“Saya sejujurnya tak meletakkan harapan apa apapun. Tapi tak sangka menang pula,” katanya yang terpalit dengan pelbagai kontroversi di awal kemunculan lagu AEWO.

LAGU AEWO nyanyian Shiha Zikir dan Noki mendapat pengiktirafan antarabangsa.

Antaranya apabila ada yang menganggap lagu berirama padang pasir itu mempunyai unsur ajaran sesat atau illuminati.

“Sebenarnya, imej saya bermata putih dan simbol segi tiga yang ditonjolkan dalam muzik video AEWO mencetuskan pelbagai andaian. Ada yang cakap seperti konsep Illuminati dan cabaran Lathi yang tular, sebelum ini.

“Sedangkan semua persepsi itu tidak benar. Masa rakamkan single ini, Ezra ada terfikir mahu letak pelbagai cadangan judul. Nak letak judul Jampi sudah ada lagu nyanyian Hael Husaini.

“Secara kebetulan, dalam lirik ada menyebut perkataan bunyi ‘ala’, ‘ae’ dan ‘wo’ , jadi akhirnya disingkatkan menjadi judul lagu. Aewo diibaratkan seperti tengah menjampi atau menyihir seseorang,” katanya

Kejayaan lagu berkenaan diiringi mesej dan ucapan tahniah daripada rakan artis di akaun media sosial miliknya.

ICMA kali pertama dianjurkan sejak tahun 2011 dan mula memartabat serta menyokong kepelbagaian genre muzik di seluruh dunia.- WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas