Selebriti

Buang rasa malu… Amelina jual nasi minyak Asyik, nasi ayam Rindu

|NASI minyak Asyik dan nasi ayam Rindu Amelina laris! Alhamdulillah...|KEBERANIAN Amelina untuk berniaga memberi inspirasi kepada masyarakat.
- Diterbit 19 Julai 2021 5:08 AM MYT

SEMUA orang terkesan disebabkan pandemik COVID-19 termasuklah golongan penyanyi yang sudah hampir dua tahun tidak dibenarkan membuat persembahan pentas.

Begitu juga dengan Ratu Dangdut Malaysia, Amelina tidak pernah berasa malu menjual nasi minyak Asyik dan nasi ayam Rindu demi kelangsungan hidup.

Bagi Amelina atau nama sebenarnya Norazlina Amir Sharipuddin, keberanian menjual dua menu tersebut adalah cara terbaik untuk dirinya sebagai ibu tunggal kepada enam orang anak.

“Dulu setakat masak untuk makan sendiri dan anak. Tapi sekarang untuk memasak dan bagi orang lain merasainya ia satu nikmat berbeza.

“Pada mula berniaga saya akui dibayangi rasa takut. Bimbang tak menjadi atau tak ada sambutan. Kali pertama jual pun saya tak promosikan pun di media sosial. Saya cuba buka tempahan sebanyak 15 bekas. Tapi saya optimis rezeki manusia itu akan ada diiringi usaha.

“Malah mujur peminat saya membantu. Merekalah beri semangat. Mereka kata buat saja, nanti boleh ‘order’. Daripada situ mereka memuji kata sedap dan mula berkongsi dengan orang lain di media sosial. Sampai ada yang mengulangi tempahan banyak kali.

“Hari demi hari, tempahan mula meningkat. Daripada masak untuk 10 orang kebiasaannya, saya cabar diri untuk siapkan 50 bekas dalam satu hari. Tak hanya peminat dan pengikut di media sosial, rakan artis pun turut menyokong dengan membeli,” katanya yang popular dengan lagu Yang Indah Yang Hangat dan Did Dadaku Ada Kamu.

NASI minyak Asyik dan nasi ayam Rindu Amelina laris! Alhamdulillah…

Apa yang membuatkan Amelina terharu apabila ramai yang mahu membeli nasi jualannya meskipun jauh.

“Ada yang buat saya tersentuh hati biarpun jauh dari KL dan Selangor, tapi tetap nak beli dan menyokong. Saya pun suka cara begini, tak perlu beri bantuan wang. Tapi cukup dengan membeli makanan yang saya jual.

“Ada yang duduk di Pulau Pinang, Johor Bahru, Melaka, dan Sarawak sanggup tempah tapi untuk disedekahkan kepada orang yang memerlukan. Malah ada yang beli untuk disumbangkan kepada pekerja barisan hadapan,” katanya.

KEBERANIAN Amelina untuk berniaga memberi inspirasi kepada masyarakat.

Amelina berkata, buat masa ini dia hanya menetapkan Selasa untuk tempahan nasi ayam, manakala Khamis dan Jumaat pula nasi minyak.

“Setakat ini jadilah buka tempahan dua hari dalam seminggu. Itupun, rezeki saya sampai tak menang tangan.

“Saya pun berserah dalam hal berniaga. Allah sudah tetapkan rezeki masing masing.

“Apa yang lebih utama biarpun pek pembungkusan kedua jenis nasi ini biasa, apa yang lebih utama adalah rasa. Biar berbaloi beli.

“Di saat ramai bergelut sekarang ini, bukan senang orang nak keluarkan duit beli itu ini. Jadi saya niat masak yang sehabis baik dan penuh kasih sayang. Kadang kadang, saya tak fikir pun bab terlebih termasuk kuantiti atau bahagian tertentu seperti ayam. Saya anggap itu cara bersedekah,” katanya yang mempelajari ilmu masakan daripada ibunya.

Sempena Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Amelina turut menghasilkan lagu popularnya, Memori Daun Pisang bertukar dalam bentuk motivasi kepada masyarakat diberi judul Memori Lockdown.

Amelina kini berjauhan dengan empat anaknya yang bersekolah dan tinggal bersama ibunya di Nilai, Negeri Sembilan dari Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sehingga Perintah Kawalan Pergerakan Diperketat (PKPD) dikuatkuasakan. Hanya dua anak tinggal bersamanya saat ini.

Mereka yang berminat untuk membuat tempahan masakannya boleh menghubungi menerusi WhatsApp di talian 019-8915509 atau ke Instagram @amelinaamirsharipuddin – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas