Berita

MCMC turun padang dalam tempoh 24 jam aduan isu kesalinghubungan diterima

- Diterbit 28 Januari 2021 6:40 AM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan menghantar pegawai untuk ‘turun padang’ ke kawasan yang mempunyai masalah berkaitan kesalinghubungan jalur lebar, dalam tempoh 24 jam selepas aduan diterima.

Pengerusi MCMC Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek berkata melalui pendekatan itu, MCMC dapat melihat dan meneliti masalah kawasan tersebut serta menghubungi pengadu untuk mendapatkan input mereka berkenaan masalah yang diutarakan.

Beliau berkata pihaknya menerima aduan melalui laman web atau saluran aduan disediakan MCMC, selain membuat pemantauan harian aduan pengguna di media sosial serta laporan media massa.

“(Prosedur) apabila kita mendapat aduan tersebut, ia akan disampaikan kepada pembekal perkhidmatan dan seterusnya pembekal perkhidmatan mesti memberi laporan kepada MCMC dalam masa tiga hari.

“Sekiranya mereka gagal memberikan laporan dalam tempoh itu, maka mereka telah melanggar Mandatory Standards on Quality of Service (Standard Mandatori Bagi Kualiti Perkhidmatan) dan MCMC boleh menyaman pihak pembekal perkhidmatan,” katanya kepada Bernama selepas muncul sebagai tetamu program The Nation terbitan Bernama TV hari ini.

Katanya selain bertanggungjawab menyediakan laporan mengenai masalah dan penyelesaian sesuatu aduan, pihak pembekal perkhidmatan juga disaran untuk menghubungi pengadu berkaitan masalah itu.

Bagaimanapun, Fadhlullah Suhaimi berkata tempoh penyelesaian sesuatu aduan adalah berbeza-beza serta bergantung kepada situasi.

Sementara itu, beliau berpendapat kaedah Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) perlu diperkukuh dengan mengubah suai medium pembelajaran serta mengambil kira faktor penggunaan jalur lebar.

Jelasnya, penstriman video dalam tempoh yang lama akan meningkatkan penggunaan jalur lebar berbanding penstriman audio, sekali gus ini akan membebankan pengguna.

Fadhlullah turut mengesyorkan penggunaan teknologi lain yang bersesuaian seperti penyiaran televisyen bagi pelaksanaan PdPR memandangkan penetrasi teknologi ini telah mencapai 100 peratus di Malaysia.

Ini merangkumi 5.7 juta pelanggan Astro, 2 juta pelanggan UniFi dan 2.3 juta pengguna dekoder myFreeview, menjadikan peratusan penetrasi penyiaran televisyen melebihi jumlah rumah di negara ini, katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas