Berita

Pengawal keselamatan sekolah didakwa sentuh bahu murid perempuan

- Diterbit 28 Januari 2021 8:02 AM MYT

SEORANG pengawal keselamatan di sebuah sekolah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan kesalahan seksual kanak-kanak dengan menyentuh bahu seorang pelajar perempuan pada Isnin lepas.

Muhammad Afiq Mohamed Zahari, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Bazli Bahruddin.

Mengikut kertas pertuduhan, dia didakwa melakukan kesalahan itu dengan maksud seksual telah menyentuh kedua-dua bahu kanak-kanak berusia 13 tahun itu daripada belakang menggunakan tangannya, di dalam kawasan sekolah, dekat sini, kira-kira 5.14 petang pada 25 Jan lepas.

Dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum bawah Seksyen 14 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohd Faizudin Sulaiman manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Pihak pendakwaan tidak menawarkan sebarang jaminan, namun tertuduh memohon supaya dibenarkan ikat jamin kerana mempunyai isteri dan seorang anak.

Mahkamah membenarkan ikat jamin RM15,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan, tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mangsa dan perlu melapor diri di balai polis berdekatan, setiap bulan.

Mahkamah menetapkan 1 Mac sebagai sebutan semula kes. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas