Berita

MCMC gesa orang ramai tidak sebar, padam video kejadian di Kajang

- Diterbit 23 Februari 2024 2:37 PM MYT

SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menggesa orang ramai tidak menyebarkan dan memadam video tragedi kejadian lelaki diikat dan dipukul sehingga mati di Taman Pelangi Semenyih 2, Kajang, Selangor, Selasa lepas.

MCMC dalam satu kenyataan berkata, perkongsian rakaman video mangsa tidak hanya mengguris perasaan keluarga mangsa malah melanggar prinsip dan etika asas dengan penggunaan grafik berkaitan kecelakaan, kemalangan dan kekerasan yang boleh menimbulkan kegelisahan penonton.

Menurutnya, sebagai garis panduan berkenaan penciptaan kandungan, rujukan boleh dibuat melalui Kod Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia.

“Setiap individu perlu mempertimbangkan sewajarnya untuk tidak menyebarkan video atau kandungan yang berkaitan dengan insiden tersebut.

“Sebarang perkongsian yang melibatkan video atau kandungan yang melibatkan mangsa serta pihak yang terlibat boleh dikenakan tindakan undang-undang di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Jelasnya lagi, MCMC menzahirkan rasa simpati dengan insiden tragis yang berlaku baru-baru ini.

Terdahulu, media melaporkan, mangsa berusia 42 tahun itu dipercayai maut selepas ditarik keluar daripada kereta oleh orang awam dan dipukul hingga mati.

Kejadian dipercayai berlaku selepas mangsa yang memandu Proton Saga, dikatakan terbabit kemalangan dengan seorang penghantar makanan dan merempuh pagar sebuah rumah di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, pihaknya menerima maklumat mengenai kejadian pada pukul 9.20 malam.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat, lima lelaki tempatan berusia 22 hingga 52 tahun ditahan di sekitar Semenyih serta Beranang kira-kira pukul 2.05 pagi pada Rabu lepas.

Motif kejadian masih dalam siasatan dan kes disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987. – WILAYAHKU.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas