BARU-BARU ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyatakan kerajaan bersetuju supaya ruang tambahan bagi latihan bahasa Cina dan Tamil diperbanyakkan di institusi perguruan, selain daripada Bahasa Kebangsaan.
Namun ada pihak yang sengaja mensensasikan isu tersebut sehingga menuduh beliau mahu mengorbankan bahasa ibunda kerana terhutang budi dengan bangsa lain.
Jangan cepat menuduh tanpa memahami. Apa yang dimaksudkan adalah supaya lebih banyak guru dalam mata pelajaran berkenaan dapat dilatih Kementerian Pendidikan (KPM) untuk dihantar ke sekolah jenis Tamil dan Cina.
Anwar tidak mengetepikan bahasa Melayu malah terus memartabatkannya sepertimana yang dijelaskannya dalam Majlis Pelancaran Bulan Bahasa Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Ipoh, Perak, sebelum ini.
Beliau berkata pelbagai kaum di negara ini seharusnya melupakan pertelingkahan mengenai bahasa sebaliknya menguatkan iltizam dan mengambil satu pendirian serta komitmen untuk mememperkasakan bahasa Melayu.
“Apabila ini dilakukan, kita akan lebih mudah memberi penumpuan kepada pemerkasaan bahasa Inggeris, Cina, Tamil dan lain-lain,” katanya.
Beliau berkata pemerkasaan ekonomi sesebuah negara juga perlu seiring dengan pemerkasaan budaya dan tamadun termasuk bahasa, seni dan sastera.
Katanya Kerajaan MADANI di bawah pimpinannya akan terus komited dalam usaha memartabatkan Bahasa Melayu tanpa meminggir bahasa-bahasa lain.
“Dikatakan Kerajaan MADANI meminggirkan bahasa (Melayu), tetapi di mana sebenarnya peminggiran itu? Tumpuan kita berikan kepada DBP (Dewan Bahasa dan Pustaka) dan pendidikan, ketimbang tahun-tahun sebelumnya, jelas sekarang peruntukan dan ruang lebih diberikan,” katanya. – WILAYAHKU