Berita

Mangsa kebakaran Flat Sri Sabah terima rumah transit

- Diterbit 13 Februari 2024 1:20 PM MYT

KESEMUA lima keluarga mangsa kebakaran di tingkat 17 blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras akan diberi rumah transit di Flat Seri Johor sebagai penempatan sementara.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa rumah transit tersebut boleh diduki bermula Rabu ini.

“Bagi mereka yang memiliki rumah sendiri atau dibeli, kita beri tempoh tinggal di rumah transit selama enam bulan manakala yang menyewa kita bagi sampai tiga tahun.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) juga mengambil tanggungjawab membaiki bahagian luar rumah manakala dalamnya adalah dibawah tanggungjawab pemilik sendiri.

“Saya ingin mengingatkan kepada penduduk dan orang ramai supaya menjaga harta awam sebab kita bimbang dalam kecemasan, paip pili bomba tidak dapat digunakan, kadang-kadang disebabkan vandalisme,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Sri Cheras..

Turut hadir Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Sr Kamarulzaman Mat Salleh.

Dalam pada itu, Zaliha memberitahu mangsa kebakaran turut diberikan beberapa jenis sumbangan berupa wang tunai dan barangan keperluan asas daripada agensi-agensi kerajaan.

“Ia merangkumi RM5,000 daripada Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP), RM1,000 DBKL, RM1,000 dari Parlimen Bandar Tun Razak, RM300 dari Jabatan Kebajikan Masyarakat dan kit bencana berupa barangan keperluan harian daripada Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP),” katanya.

Terdahulu, pada Sabtu lalu, sebanyak enam buah rumah di tingkat 17 di Flat Sri Sabah terlibat dalam kebakaran mengakibatkan lima keluarga kehilangan rumah. – WILAYAHKU

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas