Berita

Masalah pendawaian elektrik punca kebakaran di Flat Sri Sabah

- Diterbit 13 Februari 2024 11:15 AM MYT

KEBAKARAN di Tingkat 17, Blok 70, Flat Sri Sabah, Cheras pada malam Ahad lepas, dipercayai berpunca daripada masalah pendawaian elektrik, kata Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Kuala Lumpur, Muhammad Salleh Abdul.

Beliau berkata hasil siasatan awal mendapati kebakaran bermula di unit nombor tiga selain turut menafikan dakwaan bahawa ia berpunca daripada bunga api.

“Siasatan forensik kita mengesahkan kebakaran tersebut dipercayai disebabkan punca elektrik dan ia tertumpu kepada kotak agihan (DB). Kita percaya 90 peratus ia adalah punca kebakaran dan 10 peratus lagi kita sedang mengesahkan dari segi ujian teknikal bahawa itu adalah punca utama.

“Makna ia bermula di situ dan merebak ke unit-unit lain…ia merebak ke unit kedua dan keenam,” katanya pada sidang media di pusat penempatan sementara Sekolah Kebangsaan Sri Cheras di sini hari ini.

Dalam kejadian itu, lima unit kediaman di Tingkat 17, Blok 70, flat berkenaan musnah dalam kebakaran dengan tiada kematian dilaporkan.

Beliau juga berkata dakwaan bahawa pili bomba tidak boleh digunakan adalah tidak benar, sebaliknya menjelaskan bahawa alat bantu mula atau hose reel di bangunan berkenaan yang tidak berfungsi.

Susulan itu, Muhammad Salleh berkata pihaknya akan menubuhkan pasukan petugas khas bagi tujuan pemeriksaan menyeluruh di flat-flat kelolaan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sebagai tindakan segera bagi mengelakkan isu berkenaan berulang.

“Kita akan buat segera. Kita akan buat siasatan dan cadangan yang perlu untuk pertingkat dan baiki sistem-sistem yang ada di bangunan seperti ini,” katanya.

Beliau berkata jumlah kerugian masih dalam peringkat siasatan dan akan dimaklumkan kelak. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas