Berita

Manfaatkan i-Plan untuk merancang

MOHD. ANUAR
- Diterbit 29 Ogos 2019 5:05 PM MYT

JABATAN Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) merupakan agensi yang ditubuhkan bagi menjalankan perkhidmatan awal peranca­ngan bandar. Sejak 15 tahun lalu, bagi memudahkan perancangan bandar dilakukan, bahagian maklumat guna tanah negara telah membangunkan satu sistem yang dikenali sebagai i-Plan.

Boleh diakses sesiapa sahaja dengan menggunakan medium terkini seperti telefon pintar, segala maklumat berkaitan guna tanah dapat diperoleh dengan mudah dan terperinci.

Bagaimanapun, masih ramai yang tidak tahu menggunakan sistem tersebut dalam membuat perancangan. Bagi menekan­kan penggunaannya, wartawan Wilayahku, NAZWIN NAZRI menemubual KETUA PENGA­RAH PLANMalaysia, DATUK TPr MOHD. ANUAR MAIDIN.

SEJAK menerajui PLANMalaysia pada 19 Ogos lalu, apakah cabaran utama atau kesukaran yang ditempuhi?

MOHD. ANUAR: Hari pertama dilantik sebagai Ketua Pengarah baru-baru ini agak mencabar kerana saya terpaksa menjadi urusetia Majlis Perancangan Fizikal Negara (MPFN) yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri. Tarikh itu telah diputuskan sebelum saya mendapat surat penempatan lagi dan kebetulan saya menerima surat penempatan pada hari tersebut.

Skop PLANMalaysia tidak mencakupi Wilayah Persekutuan sahaja sebaliknya merangkumi Semenanjung Malaysia walaupun kita pada masa ini berada di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan (KWP). Kita masih kekal sebagai peneraju dalam perancangan bandar dan desa.

Ia berbeza dengan fungsi Wilayah Persekutuan sekarang ini, jadi lebih banyak cabaran-cabaran yang perlu kita hadapi terutama berkaitan visi dan misi di kementerian sendiri supaya ia selaras dengan fungsi baharu apabila PLANMAlaysia dan Jabatan Landskap Negara (JLN) diletakkan di bawah KWP.

Jadi perkara ini telah dibincangkan di peringkat pengurusan dan kita pernah bawa satu memorandum untuk kita perkukuhkan nama kementerian tetapi belum dibuat keputusan oleh pihak Kabinet. KWP kekal penambahan pada fungsi-fungsi lain termasuk MPFN dan JLN. Kalau mengikut Akta Perancangan Bandar dan Desa (Akta 172), fungsi kita banyak iaitu sebagai penasihat sistem perancangan negara seperti MPFN.

Sebagai pe­neraju utama perancangan bandar dan desa, apakah pembaharuan akan dibawa?

MOHD. ANUAR: Saya akan memberi penekanan pada Sistem Maklumat Gunatanah Perancangan Bersepadu (i-Plan) yang dibangunkan sejak sekian lama berikutan masih ramai yang tidak tahu cara menggunakannya.

i-Plan boleh diakses di mana-mana sahaja termasuk menggunakan telefon pintar. Ia menunjukkan pengguna-pengguna tanah secara terperinci dan sentiasa dikemas kini. Guna tanah secara terperinci maksudnya kalau ingin mengetahui status tanah, kita cuma letakkan nombor geran dan sistem ini akan cari. Kita boleh terus tahu tentang status tanah lot dan apa yang dirancang ke atasnya.

Sekarang tanah kita mungkin tanah semasa, kita boleh tengok cadangan-cadangan rancangan negeri atau rancangan-rancangan tempatan yang berkaitan ke atasnya berdasarkan zoning kawasan itu, sama ada boleh dibangunkan untuk industri atau mungkin projek kerajaan akan dimasukkan di situ.

Adakah sistem i-Plan mudah diakses oleh sesiapa sahaja dan maklumat berkaitan tanah dapat diperoleh?

MOHD. ANUAR: Kos bagi Sistem i-Plan ini agak besar, ini merupakan satu aset besar yang kita sumbangkan khususnya kepada kementerian. Dalam tempoh pembangunan yang hampir 15 tahun ini, ia berada di peringkat matang kerana semua orang boleh guna. Malah sejak dibangunkan oleh bahagian maklumat guna tanah negara, sistem ini banyak digunapakai oleh semua agensi swasta, pelajar, guru dan sebagainya. Kalau untuk kita merancang dan buat laporan atau anak-anak kita hendak buat kertas kerja, dia boleh guna data-data yang ada melalui portal i-Plan ini.

Apakah perkembangan terbaru atau penambahbaikkan kepada sistem ini?

MOHD. ANUAR: Di peringkat era baharu sekarang, i-Plan sudah masuk di peringkat fasa ketiga yang mana kita kumpulkan orang yang guna, kumpulkan data dan menghubungkan data dari setiap negeri.

Data juga sentiasa dikemas kini dan setiap tahun kita melakukan dua kali kemas kini. Walaupun telah lama wujud, kita masih tidak tahu bagaimana cara untuk menggunakan data-data berkenaan. Kita ada banyak perisian yang boleh menggunakan data-data ini. Sedangkan ia boleh digunakan untuk membuat perancangan atau membuat keputusan, umpamanya kalau kita nak cadangkan pembinaan struktur lebuh raya, kita boleh buat model di manakah lebuh raya yang paling sesuai. Alternatif-alternatif sesuai juga boleh dilaksanakan menggunakan data-data yang ada ini termasuk menyediakan model dan sebagainya.

Sebagai contoh, di Putrajaya ini kurang tanah perkuburan. Jadi di manakah tempat yang paling sesuai untuk tanah perkuburan itu? Justeru, menerusi maklumat kepadatan penduduk dan sebagainya, kita masukkan ke dalam sistem dan sistem boleh menbantu kita untuk membuat keputusan yang sesuai.

Sekiranya segala maklumat diperoleh menerusi sistem i-Plan, bagaimana dengan pembangunan yang mahu dilakukan dan sejauh mana pemaju perlu mematuhi garis panduan yang ditetapkan PLANMalaysia?

MOHD. ANUAR: Semua kebenaran merancang, menggunakan istilah kebenaran merancang. Kalau hendak buat sesuatu pembangunan, kita perlu memohon kebenaran merancang daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) dan untuk menyediakan kebenaran merancang tersebut, pihak pemaju perlu mematuhi syarat di bawah Akta 172 dan sediakan lakaran pembangunan.

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas