Berita

Manfaat inisiatif percuma PeKa B40

PESERTA PeKA B40 menerima rawatan pemeriksaan daripada doktor.
- Diterbit 7 Julai 2023 12:00 PM MYT

GOLONGAN ­berpendapatan rendah (B40) di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ­disaran menjalani saringan ­kesihatan percuma menerusi Program Skim Peduli Kesihatan Untuk Kumpulan B40 (PeKa B40).

Pasukan Jangkau Luar Kuala Lumpur-Putrajaya ProtectHealth, Dr Ain Syafiqah Che Ghani ­berkata saringan itu percuma buat penerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) berumur 40 tahun ke atas termasuk pasangan yang telah berdaftar.

“PeKa B40 bertujuan ­untuk menampung keperluan ­kesihatan golongan B40 dengan memberi tumpuan terhadap rawatan ­penyakit tidak berjangkit (NCD) di samping meningkatkan akses kepada perkhidmatan ­kesihatan yang diperlukan golongan tersebut.

“Bagi pemeriksaan ini, ­penerima yang telah berdaftar di bawah PeKa B40 hanya boleh melakukan saringan kesihatan ini sekali ­seumur hidup sahaja di ­mana-mana klinik swasta dan klinik kesihatan kerajaan yang telah berdaftar.

“Inisiatif ini disediakan di seluruh klinik kesihatan ­kerajaan tetapi bagi klinik swasta, orang ramai boleh mengenal pasti dengan melihat pelekat logo PeKa B40 yang tertera di setiap ­pintu klinik swasta yang berdaftar. Anda boleh tanya sama ada ­layak atau tidak pada kakitangan ­klinik yang bertugas,” katanya ketika ditemui Wilayahku pada Program Saringan Kesihatan di Projek Perumahan Rakyat (PPR) Desa Rejang baru-baru ini.

PESERTA perlu berdaftar bagi mengenalpasti sama ada layak atau tidak.

Menurut Dr Ain, program saringan yang dijalankan di PPR Desa Rejang itu memanfaatkan seramai 100 orang penduduk dan telah ­mendapat kerjasama ­daripada Persatuan Penduduk Desa Rejang termasuk Klinik Idzham selaku ­klinik yang bertanggungjawab ­dalam ­pemeriksaan ­tersebut serta pasukan makmal iaitu Innoquest Pathology.

“Antara pemeriksaan ­kesihatan yang dilakukan adalah ­mengenal pasti sejarah kesihatan dan penyakit individu serta keluarga termasuk faktor risiko kesihatan selain turut melakukan saringan kesihatan mental, ujian darah dan air kencing.

“Mereka juga turut ­berpeluang melakukan ­pemeriksaan fizikal dan klinikal iaitu pengambilan darah dan pemeriksaan payudara atau Clinical Breast Examination (CBE),” katanya.

Sementara itu, Petugas Kesihatan Makmal, Pavithran Menachi Sundram ­berkata selepas pemeriksaan ­kesihatan dilakukan, individu atau ­penerima akan mengetahui ­keputusan makmal daripada ­doktor serta ­tindakan susulan sama ada rujukan ke fasiliti KKM atau Program Sihat Cergas KKM.

“Biasanya kita akan ­ambil darah untuk mengenal ­pasti kandungan glukos, kolesterol dan pelbagai lagi. Kemudian, kita akan berikan keputusan makmal tersebut untuk rujukan dan ­tindakan doktor,” jelasnya. -WILAYAHKU 

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas