Berita

Malaysia sertai Persidangan Air PBB 2023, zahir komitmen negara dalam pengurusan air

- Diterbit 23 Mac 2023 8:30 AM MYT

MALAYSIA menyertai Persidangan Air Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 2023 di New York, Amerika Syarikat dengan menzahirkan komitmen negara dalam pengurusan air serta mengetengahkan tindakan adaptasi dan daya tahan sektor air khusus dalam menangani isu banjir.

Kementerian Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (NRECC) berkata delegasi negara diketuai Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad menyertai persidangan tersebut selama tiga hari bermula semalam hingga 24 Mac.

“Malaysia menyahut gesaan PBB dalam Dekad Tindakan Air 2018 hingga 2028 dengan penyertaan delegasi Malaysia di persidangan itu,” menurut NRECC dalam satu kenyataan hari ini.

Persidangan Air PBB 2023 merupakan platform tertinggi di peringkat dunia berhubung air dan ia akan menetapkan hala tuju serta keutamaan dunia untuk meningkatkan pencapaian Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) 6 berkaitan air bersih dan sanitasi.

Menurut NRECC, penyertaan Malaysia dalam persidangan itu juga bertujuan memastikan kesinambungan agenda air peringkat pelbagai hala dalam forum lain seperti High Level Political Forum for Sustainable Development (HLPF) yang akan berlangsung di New York, Amerika Syarikat dari 10 hingga 19 Julai depan.

Menurut kenyataan itu, Nik Nazmi juga mengadakan pertemuan dengan rakan sejawat beliau dari United Kingdom, Bangladesh, Singapura, Arab Saudi dan Korea Selatan dan pertemuan tersebut bertujuan meningkatkan kerjasama khususnya dalam bidang pengurusan air menerusi perkongsian pintar serta kerjasama strategik.

Nik Nazmi dalam kenyataan sama berkata Malaysia menyambut baik usaha PBB bagi membincangkan isu air global secara serius.

“Krisis perubahan iklim adalah krisis air. Air adalah penghubung kepada tindakan-tindakan yang digariskan dalam kerangka-kerangka PBB.

“Penyertaan negara akan memastikan hubung kait antara air dengan tindakan perubahan iklim, alam sekitar, daya tahan, kesihatan, sosioekonomi dan agenda pembangunan negara diberi perhatian,” katanya. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas