Berita

Jana Wibawa: Semua pertuduhan terhadap Adam Radlan dibicara bersama di Mahkamah Sesyen KL

- Diterbit 23 Mac 2023 8:45 AM MYT

KESEMUA lima pertuduhan rasuah yang dihadapi ahli perniagaan Adam Radlan Adam Muhammad berkaitan Program Jana Wibawa akan dibicarakan bersama di Mahkamah Sesyen di sini.

Timbalan Pendakwa Raya Maziah Mohaide memberitahu Hakim Mahkamah Sesyen Azura Alwi bahawa pihak pendakwaan akan memohon untuk memindahkan dua kes yang dihadapi ahli perniagaan itu di Mahkamah Sesyen Shah Alam ke Mahkamah Sesyen di sini, untuk dibicarakan bersama.

Beliau berkata kes Adam Radlan di Shah Alam akan disebut pada 14 April ini.

Adam Radlan, 42, yang juga Timbalan Ketua Bahagian Bersatu Segambut itu menghadapi lima pertuduhan iaitu tiga di Kuala Lumpur dan dua di Shah Alam.

Di Kuala Lumpur, Adam Radlan didakwa di dua Mahkamah Sesyen pada 21 dan 28 Feb lepas melibatkan dua pertuduhan rasuah dan satu pertuduhan meminta suapan berjumlah RM2 juta.

Sementara itu di Shah Alam, pada 22 Feb lepas, dia didakwa dengan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM4.1 juta berkaitan projek Jana Wibawa.

Peguam Datuk Seri Rajan Navaratnam yang mewakili Adam Radlan tidak membantah pemindahan tersebut.

Semasa sebutan kes hari ini, Maziah turut memaklumkan pihak pendakwaan telah menyerahkan sebahagian dokumen berkaitan perbicaraan kepada pembelaan seperti yang dikehendaki di bawah Seksyen 51(a) Kanun Tatacara Jenayah.

Azura kemudian menetapkan tarikh sebutan selanjutnya pada 29 Mei ini untuk serahan dokumen yang lain. – BERNAMA

Ikuti channel Telegram Wilayahku untuk mendapatkan capaian berita dengan pantas